Serena Williams beralih ke WWE? - Utusan Malaysia

Serena Williams beralih ke WWE?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK 27 Okt. – Serena Williams sudah tidak punya apa lagi untuk dibuktikan dalam tenis kerana dia sudah memiliki semua empat gela­ran Grand Slam, pingat emas Sukan Olimpik dan bergelar pemain No. 1 dunia.

Sedar akan populariti yang dimiliki Williams, usaha kini sedang dijalankan untuk memujuk bintang tenis Amerika Syarikat (AS) itu beralih kepada gelanggang baharu – World Wrestling Entertainment (WWE).

Ketua Eksekutif Jenama WWE, Stephanie McMahon me­ngakui, dia cuba meyakinkan legenda tenis berusia 37 tahun itu untuk bertukar gelanggang bagi membawa revolusi kepada sukan gusti hiburan tersebut.

Katanya, sambutan hebat yang diterima oleh bintang seni mempertahankan diri campuran (MMA), Ronda Rousey apabila beralih kepada WWE membuatkannya bersemangat untuk mencari lebih ramai muka baharu dari sukan berbeza.

“Serena! Saya mahu Serena. Dia sangat menakjubkan,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat WWE di New York.

Pada ketika prospek Williams bakal beralih gelanggang masih belum muktamad, McMahon, anak kepada pemilik WWE, Vince McMahon berkata, fokusnya ketika ini adalah me­lakukan revolusi dalam sukan gusti wanita.

Williams, ibu kepada seorang anak perempuan adalah pemilik 23 gelaran Grand Slam, sekali gus menjadikannya antara pemain tenis wanita paling berjaya dalam sejarah.

Dia berjaya memenangi tujuh kejuaraan Wimbledon dan Terbuka Australia, selain menang enam kali dalam Terbuka AS dan tiga kali dalam Terbuka Perancis.

Biarpun mengalami kemerosotan sejak melahirkan anak pertamanya pada September, tahun lalu dan kini menghuni ranking ke-17 dunia, Williams masih bersemangat untuk meneruskan karier tenis.

Dia kini berusaha untuk kembali merampas takhta No. 1 dunia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN