KUALA LUMPUR 20 Okt. – Walaupun berjaya mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Muscat, Oman hari ini namun ketua jurulatih hoki kebangsaan Roelant Oltmans tidak berpuas hati dengan jentera serangan Malaysia.
Pasukan negara meneruskan kecemerlangan apabila menumpaskan tuan rumah Oman 3-1 di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, iaitu sehari selepas menewaskan juara Sukan Asia, Jepun 3-0.
Firhan Ashaari membuka tirai jaringan Malaysia pada minit ke-26 tetapi Ashad Al Fazari berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti pada minit ke-34.
Tengku Ahmad Tajuddin dan Faizal Shaari memastikan kemenangan memihak skuad hoki negara apabila masing-masing meledak gol pada minit ke-46 dan ke-48.
“Dari segi struktur, kami menunjukkan permainan yang agak bagus, cuma kami tidak cukup tajam ketika menyerang, selain pergerakan ketika membawa bola terlalu perlahan.
“Sesuatu yang bagus jika anda dapat menjaringkan lebih banyak gol tetapi anda masih tetap mampu memenangi perlawanan jika tidak melepaskan gol.
“Biasanya peluang untuk anda memenangi perlawanan adalah 95 peratus jika berjaya menjaringkan tiga gol atau lebih, dan itu yang kami lakukan dalam dua perlawanan pertama di sini,” kata Oltmans, yang menggalas tugas pertama bersama Malaysia sejak dilantik sebagai jurulatih pada 1 Oktober lalu.
Skuad Malaysia Tigers akan menentang Korea Selatan pada Isnin ini, sebelum berdepan India (Selasa) dan Pakistan pada 25 Oktober. Empat pasukan teratas layak ke separuh akhir. – UTUSAN ONLINE










