TEXAS 25 Okt. – Para penyelidik menemukan senjata tertua berusia kira-kira 15,500 tahun di Texas, Amerika Utara dalam penemuan yang disifatkan mampu mengubah semula fakta sejarah tentang kedatangan manusia pertama ke benua itu.
Penemuan sejumlah senjata di lokasi kira-kira 64.3 kilometer di barat laut Austin itu menunjukkan terdapat dua kumpulan pendatang berasingan ke Amerika Utara, salah satunya lebih awal daripada kumpulan sebelum ini yang diketahui umum sebagai manusia purba Clovis.
Mata lembing diperbuat daripada batu silika dan peralatan lain ditemukan beberapa meter dalam mendapan, berusia 15,500 tahun malah lebih lama daripada manusia Clovis yang sejak berkurun-kurun dipercayai merupakan manusia pertama tiba di Amerika.
Ketua Penyelidik dan Pengarah Pusat Kajian Manusia Pertama Amerika Universiti Texas A dan M, Profesor Michael Waters mengesahkan senjata itu digunakan untuk memburu di kawasan berkenaan pada zaman tersebut.
“Penemuan itu meluaskan lagi pemahaman tentang manusia paling awal menjelajah dan menetap di Amerika Utara,” katanya yang dilaporkan portal Daily Mail.
Penyelidik juga beranggapan kemungkinan bentuk batu runcing yang ditemukan itu adalah berbeza daripada bentuk senjata manusia terawal yang merupakan pendatang berasingan ke Amerika.
Mereka mendapati batu runcing itu adalah lebih awal daripada teknologi yang dibawa manusia Clovis pada 13,000 tahun lalu.
Manusia Clovis mencipta ‘batu runcing Clovis’ senjata seperti lembing diperbuat daripada batu yang ditemukan di Texas dan beberapa bahagian Amerika Syarikat serta utara Mexico.
Senjata itu digunakan untuk memburu binatang termasuk mamot dan mastodon bermula dari 13,000 sehingga 12,700 tahun lalu.










