ENGGAN dirinya digelar maskot kepada Miss Universe Malaysia Organization atau MUMO, Samantha Katija atau Sammy, 24, berharap organisasi tersebut diterajui oleh orang baharu. Ini bagi menggantikan Elaine Daly yang kini memegang jawatan sebagai Pengarah Kebangsaan pertubuhan itu.
Hampir setahun bernaung di bawah organisasi berkenaan, Sammy mendedahkan layanan buruk telah diberikan kepada gadis-gadis naungan MUMO.
“Saya pernah digelar sebagai maskot MUMO dan lebih teruk, juga dihina dengan panggilan perempuan murahan kerana cara penampilan dan berpakaian.
“Jujurnya, saya beranggapan gaya pemakaian yang ditonjolkan adalah personaliti dan keperibadian diri sendiri. Rasanya pada zaman sekarang, masyarakat perlu terbuka menerima seseorang bukan menerusi aspek luaran, tetapi bermula dari dalam.
“Saya mengakui, kadang-kala cara berpakaian tidak bersesuaian, namun saya selesa menggayakannya,” tambahnya.
Pemilik nama penuh Samantha Katie James itu sudah serik. Sudah tiba masanya dia bersuara menentang pembulian lisan yang dilakukan ke atas dirinya ketika bernaung di bawah MUMO.
Disebabkan itu, Sammy berani melontarkan pandangannya agar ada individu lain tampil mengemudi pucuk kepimpinan MUMO demi masa depan yang lebih terjamin.
“Saya bukan bermaksud menyertai Miss Universe adalah sesuatu yang tidak bagus. Platform ini adalah medium terbaik buat setiap peserta mengetengahkan bakat mereka bukan sahaja di peringkat nasional, bahkan ke tahap antarabangsa.
“Miss Universe adalah pentas para jelitawan di Malaysia membuktikan kecantikan dan kebijaksanaan masing-masing tanpa perlu dipergunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Jadi, kita memerlukan seorang pemimpin yang berkaliber. Ini bagi memastikan masa depan dunia peragaan di Malaysia mampu memberi saingan sengit kepada peserta negara lain yang sering mendominasi pertandingan ratu cantik,” ujarnya berkongsi idea.
Terdahulu, Sammy pernah mencetuskan kontroversi gara-gara gaun nasi lemak yang diperagakan ketika mewakili negara ke pertandingan Miss Universe 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat pada November tahun lalu.
Kutukan dan kritikan yang tidak kepalang dihamburkan oleh warganet terhadap rekaan busana Brian Khoo tersebut, secara tidak langsung telah mematangkan dirinya, sekali gus mahu mengatur semula perjalanan seni yang baru berusia setahun jagung.
ANAK ANGKAT
Berdarah kacukan Cina-Brazil, Sammy sejak kecil tidak pernah bertemu bapa kandungnya dan kali terakhir berjumpa dengan ibu kandungnya adalah ketika dia diserahkan kepada sebuah keluarga angkat keturunan India.
Membesar dalam persekitaran yang terdiri daripada rakan-rakan yang pelbagai kaum termasuk keturunan Melayu, gadis tinggi lampai berkenaan fasih bertutur dalam pelbagai bahasa tempatan.
“Saya mudah untuk bergaul dengan semua orang dan tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan mereka tanpa mengira sempadan bangsa ataupun usia.
“Sebab itulah saya yakin untuk menyertai Miss Universe kerana jati diri yang ada dalam diri ini memberi keyakinan maksimum untuk menguji keupayaan peribadi,” katanya kepada Pancaindera.
Justeru, tidak mustahil apabila namanya diumumkan menjuarai pertandingan tersebut, apatah lagi dia seorang yang berotak geliga selain bentuk fizikal luarannya menawan setiap mata yang memandang.
SUKA VERSATIL
PENGALAMAN membintangi telefilem Wanita Terindah di sisi dua pelakon popular Fattah Amin dan Nur Fazura tidak lama dahulu membuatkan gadis itu teruja untuk terus meneroka bidang lakonan.
Terkini, dia diberi peluang untuk kembali ke set penggambaran lagi setelah menerima tawaran untuk sebuah drama bersiri berjudul Pakar yang bakal disiarkan di sebuah televisyen swasta tidak lama lagi.
Menurut Sammy, drama tersebut diterbitkan untuk siaran di laman web berdurasi antara dua hingga empat minit.
“Selepas tamat kontrak dengan MUMO, saya fokus untuk menceburi bidang lakonan dan pengacaraan selain masih lagi aktif di pentas peragaan.
“Saya sukakan cabaran sebagai seorang pelakon kerana setiap watak yang digalas mempunyai rintangan yang berbeza-beza.
“Bagaimanapun, pada masa yang sama mahu mencuba bidang pengacaraan kerana lapangan ini mampu mencabar kemahiran komunikasi saya dengan khalayak,” tambahnya.










