Sektor pelancongan boleh mati - Utusan Malaysia

Sektor pelancongan boleh mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Sektor pelancongan di Cameron Highlands akan mati sekiranya tiada penguatkuasaan undang-undang dilakukan terhadap aktiviti penerokaan tanah secara berleluasa di situ.

Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Shaharuddin M. Saaid berkata, hal demikian kerana kebanyakan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara bimbang berlakunya bencana seperti tanah runtuh dan banjir lumpur di kawasan pelancongan popular tersebut.

“Kita perlu sedar, pelancong dari luar negara sangat mementingkan keindahan alam semula jadi dan sentiasa peka terhadap isu berkaitan alam sekitar di kawasan yang ingin dilawati mereka.

“Cameron Highlands sememangnya menjadi tumpuan pelancong luar negara, namun sekiranya masalah penerokaan tanah secara berleluasa dibiarkan sehingga menimbulkan kebimbangan berlakunya bencana di situ, mereka tidak akan da­tang lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan Mingguan Malaysia hari ini yang mendakwa Came­ron Highlands tidak lagi selamat untuk pelancong sekiranya aktiviti penerokaan dan pembalakan haram masih berleluasa.

Mengulas lanjut, Shaharud­din berkata, industri perhotelan, pemilik restoran serta peniaga di Cameron Highlands akan mengalami kerugian sekiranya jumlah pelancong yang datang ke situ berkurangan.

Dalam nada sama, Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Cheah Swee Hee berkata, isu mengenai risiko bencana di Came­ron Highlands te­lah menimbulkan persepsi negatif da­lam kalangan pelancong di situ.

Katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan yang sewajarnya kepada peneroka haram bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Penerokaan tanah secara berleluasa bukanlah isu yang baharu di Cameron Highlands. Sekiranya dibiarkan tanpa sebarang penyelesaian, kita bukan sahaja akan kehilangan pelancong dari luar negara malahan, pelancong tempatan juga tidak akan datang ke situ,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN