KUALA LUMPUR 30 Okt. – Kerajaan perlu mengejar tempoh singkat Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang hanya berbaki dua tahun sahaja lagi dengan merapatkan jurang pendapatan antara kaum yang semakin melebar di negara ini.
Pakar Runding Ekonomi Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Akbar Ali perkara ini perlu supaya negara tidak diancam dengan sebarang isu-isu keselamatan dan perkauman apabila jurang tersebut tidak ditangani segera.
“Tidak dinafikan kita berjaya membasmi kadar kemiskinan mutlak dari 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 0.4 peratus sahaja pada 2016.
“Namun kajian menunjukkan jurang pendapatan antara bumiputera dan bukan bukan bumiputera, penduduk bandar dan luar bandar, kumpulan B40 dan kumpulan T20 dan M40 semakin melebar terutama sejak 2009,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajian bertajuk, Kajian Separuh Penggal RMK11 – Tanggungjawab Bersama Dan Berkongsi Kemakmuran dalam Sesi Pembentangan Meja Bulat MPM – Media di Wisma MPM di sini, hari ini.
Yang turut hadir Setiausaha Agung MPM Datuk Dr. Hasan Mad, Ahli Lembaga MPM, Prof. Tan Sri Ibrahim Abu Shah, Pengarah Penyelidikan dan Penerbitan Institut Antarabangsa Peradaban Islam dan Dunia Melayu ISTAC, Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan.
Akbar berkata, kerajaan menyasarkan purata bulanan kumpulan B40 dari RM2,848 kepada RM4,430 pada 2020 namun dikhuatiri pendapatan kumpulan T20 dan M40 akan jauh melebihi kerana kerajaan tidak menyatakan sasaran pendapatan bulanan dua kumpulan ini.
“Pada 2016 purata pendapatan bumiputera misalnya adalah RM4,000 sedangkan tempoh yang sama, purata pendapatan bagi kaum Cina melonjak sekali ganda kepada RM8,000 sebulan.
“Ditambah lagi jumlah pemilikan harta kekal dan tidak kekal termasuk saham dan aset lain serta hartanah kalangan B40 yang majoritinya adalah bumiputera jauh ketinggalan berbanding kaum lain,” katanya.
Menurutnya, negara dijangka mengekalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada lima hingga enam peratus setahun.
“Namun jika kita dapat membanteras dan memerangi rasuah dan ketirisan secara habis-habisan, ia mampu memberikan 1.7 peratus tambahan kepada KDNK.
“Menyedihkan berbanding Indonesia, India dan China yang sebelum terkenal dengan amalan rasuah yang teruk tetapi kini Malaysia berjaya ‘mengatasi’ mereka dengan kita berkedudukan antara paling tinggi amalan rasuah mengikut indeks Rasuah Antarabangsa.
“Sehinggakan untuk memulakan perniagaan pun memerlukan suapan apatah lagi ada yang terpaksa menyediakan peruntukan belanja untuk tujuan rasuah ini dalam perbelanjaan perniagaan mereka,” katanya.
Walau tidak banyak masa lagi yang tinggal untuk RMK11, namun Akbar percaya kerajaan boleh menjayakan rancangan itu sepenuhnya bagi membuktikan Pakatan Harapan (PH) adalah jauh lebih pragmatis dalam merapatkan jurang tersebut.
“Kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan yang terbabit sendiri perlu dirombak (over haul) supaya menyedari sepenuhnya akan tanggungjawab berat mereka membantu golongan terpinggir ini,” katanya.
Sementara itu, Hasan berkata, Melayu bukanlah kaum yang sering dilabelkan sebagai pemalas, lembab, lambat atau keciciran tetapi merupakan kaum yang mudah dipengaruhi untuk berubah ke arah kebaikan dan kemajuan.
“Untuk menjayakan RMK11 dan agenda ekonomi Melayu ini hanya perlu perbetulkan jentera kerajaan dan ahli politik itu sendiri.
“Melayu tidak seteruk sebagaimana yang dilabelkan dan supaya orang Melayu tidak berkecil hati dengan kepimpinan Melayu yang ada, kita mesti ikhlas membantu mereka,” katanya.
Ibrahim pula berkata, kedudukan orang Melayu terutama dalam aspek politik dan ekonomi pada hari ini agak membimbangkan tanpa menafikan ia berpunca dari kesilapan-kesilapan masa lampau.
“Pelbagai jurang semakin melebar, kekalahan Barisan Nasional, rasuah, ketirisan yang semua ini terpaksa kita terima.
“Namun dengan Malaysia Baharu dan harapan baharu kita mengharapkan yang lebih baik berbanding dahulu kerana yang penting kita perlu bentangkan secara fakta, bukan bertindak secara melulu,” katanya.
Awang Sariyan pula berkata, kaum Melayu masih belum layu walaupun isu dan agenda terutama untuk memartabat dan memperkasakan ekonomi kaum tersebut masih belum selesai.
“Tetapi dengan kerajaan baru hari ini, inilah masanya yang paling sesuai dan tepat untuk ikhlas membantu mereka supaya kita tidak tinggal sebagai satu etnik dan nama sebuah bangsa semata-mata,” katanya. – UTUSAN ONLINE










