MELAKA – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP masing-masing dari Melaka dan Sabah bersedia memulangkan gelaran Datuk sekiranya diminta berbuat demikian oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Dr. Wong Fort Pin berkata, pengurniaan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang diterimanya pada Sabtu lalu itu dibuat adalah atas dasar peribadi dan beliau tidak pernah melobi untuk menjadi penerima.
Sebaliknya, beliau yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban berkata, darjah kebesaran itu merupakan penghargaan daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob kepadanya.
“Adalah menjadi kebiasaan bagi kita untuk menolak (gelaran Datuk) walaupun tiada garis panduan mengenainya sejak dahulu. Mendiang Karpal Singh (bekas Pengerusi DAP), Lim Kit Siang (Penasihat DAP) dan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) juga tidak mengambilnya (anugerah kebesaran).
“Bagaimanapun, pengurniaan (gelaran) Datuk oleh Mohd. Khalil adalah suatu bentuk penghormatan dan saya rasa berbesar hati untuk menerimanya.
“Kita tidak sesekali melobi namun sekiranya CEC minta pulangkan, saya menghormati keputusan tersebut,” kata Fort Pin ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










