PORT DICKSON 5 Okt. – Calon Bebas, Lau Seck Yan menjadi tumpuan dalam sidang akhbar Bersih 2.0 di sini hari ini ekoran kelantangannya mempersoalkan kegagalan pertubuhan bukan kerajaan itu bertindak secara proaktif terhadap mana-mana calon yang menggunakan aset dan jentera kerajaan semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Beliau berpandangan, Bersih 2.0 tidak seharusnya menunggu aduan rasmi daripada orang ramai untuk memulakan tindakan.
“Jadi, siapakah pembela yang sebenarnya? Apakah yang benar-benar hendak diperjuangkan?” soalnya.
Yang turut hadir, Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd. Saari dan Pengarah Eksekutif Bersih 2.0, Yap Swee Seng serta calon-calon bebas yang lain iaitu Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Kan Chee Yuen dan Stevie Chan Keng Leong.
Dalam sidang akhbar itu, empat calon bebas terbabit telah menandatangani ikrar menyokong pilihan raya yang bersih dan adil manakala calon Pakatan Harapan (PH) difahamkan turut berbuat demikian.
Semalam, Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan mengingatkan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang hasratnya untuk melihat PRK Parlimen Port Dickson bebas daripada penggunaan aset dan jentera kerajaan.
Sementara itu, Shahrul Aman menjelaskan, pihaknya akan membuat laporan selepas PRK Parlimen Port Dickson selesai.
“Insya-Allah kalau ada ruang, kita akan buat teguran,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











