BANYAK cendekiawan yang mula tertarik dengan ungkapan “menjalankan amanah”. Dunia sejagat pun tidak kurang menyebut mengenai “integriti” kerana di masa kini dunia dilanda oleh masalah low integrity and low trust.
Amanah mengikut istilah yang mudah bererti jujur, boleh dipercayai, boleh dipertanggungjawabkan atau lebih luas lagi ialah sikap setia dan muhasabah (menghisab diri). Prof. Dr. Sidek Baba pernah menulis mengenai sikap amanah ini dalam bukunya berjudul Pengurusan Islami, Aplikasi Ihsan dan Insan, dalam bab bertajuk Teori I dan Pengurusan Strategik.
Bagaimana Teori I ini boleh membentuk seseorang itu bekerja atau menjalankan kerja dengan amanah di samping bekerja dengan cemerlang dan rela seperti mana dipelopori teori-teori motivasi. Dengan perkataan mudah work well and work willingly.
Menurut Prof. Dr. Sidek Baba, Teori I ini ialah satu pendekatan Dwi-dimensi (menegak-merentasi) berasaskan keihsanan dan keinsanan, iaitu 2 dimensi Habluminallah dan Habluminannas. Menegak adalah hubungan manusia dengan Allah SWT dan merentas adalah hubungan manusia dengan manusia. Satu dimensi tidak memadai untuk menjadikan manusia itu sempurna. Menurut Stephan Covey, satu dimensi tidak boleh menjadikan the whole person paradigm.
KEIHSANAN
Ihsan ialah dimensi menghubungkan diri dengan Allah SWT. Bahawa Allah SWT sentiasa melihat, mendengar segala perbuatan kita bahkan Allah SWT tahu apa yang ada di dalam hati kita. Oleh itu manusia sentiasa berwaspada, berhemah dan jujur dalam menjalankan tugas kerana tahu ia akan ditimbang buruk baiknya. Ini mendorongnya kerja dengan ikhlas, cemerlang, takwa dan bil-Hikmah.
Inilah motivasi yang paling tinggi bagi orang Islam khususnya orang Melayu yang memegang amanah yang tinggi untuk memacu negara ke arah negara kelas pertama. Ini adalah satu perjuangan suci (Fisabilillah). Malangnya dalam perjuangan untuk mencapai taraf ihsan ini, banyak orang yang terjerumus, terlupa dan terpedaya dengan keindahan dunia dan kemewahannya.
KEINSANAN
Keinsanan ialah hubungan manusia dengan manusia. Atau dalam organisasi, hubungan seseorang dengan ketua dan orang atasannya, hubungan sebaya, iaitu kawan dengan kawan dan hubungan dengan orang bawahannya. Kunci kepada hubungan ini disebut sebagai Emotional Quotient (EQ) atau disebut sebagai kecerdasan emosi.
Kecerdasan emosi seseorang itu ada yang tinggi dan rendah. Orang yang tinggi EQ nya dikatakan lebih matang, bertimbang rasa, hormat menghormati, boleh dipercayai, menepati janji, jujur dan pandai mengambil hati. Sebaliknya orang yang EQ nya rendah cepat marah, cepat naik angin, kurang bertimbang rasa, bully dan keras kepala. Emosinya lebih kepada mendominasi. Ego atau keakuannya tinggi dan biasanya mahu kehendaknya tercapai cara aku, my way.
Dalam perkataan lain, faktor keinsanan ini adalah mirip kepada akhlak. Yang dituntut oleh agama dan manusia sejagat ialah “akhlak yang mulia”. Begitulah Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW untuk membina umat yang berakhlak mulia. Tetapi apa yang terjadi sekarang. Akhlak manusia semakin merosot. Keruntuhan akhlak menjadi-jadi. Sifat jujur, ikhlas dan amanah semakin tercabar, jari lurus kelingking berkait.
Oleh itu, untuk mendapatkan penjawat awam dan swasta yang berakhlak mulia, punyai peribadi yang patuh, akur, tunduk dan taat (PATT), aplikasi Teori I, keihsanan dan keinsanan harus dipelajari di sekitar kalangan penduduk negara ini. Seperti orang Jepun mendidik ‘budaya kerja Jepun’ di peringkat tadika. Setiap warga Malaysia harus ditanamkan dengan sifat ihsan dan insan ini dari awal persekolahan.
Dari segi korporat, ia seorang pengurus yang hebat, dihormati dan disayangi. Dalam rumahtangganya, seorang pemimpin yang adil dan penuh kasih sayang. Dari segi amalannya, ia mencari kerahmatan, keberkatan dan keredhaan. Insya-Allah, umurnya panjang dalam kesihatan dan keredaan Allah SWT.
RUMUSAN
Menegakkan Teori I, dengan pengamalan sifat-sifat keihsanan dan keinsanan akan memacu Malaysia ke arah negara kelas pertama yang disemarakkan oleh produktiviti, kualiti yang tinggi di samping peningkatan kreativiti dan inovasi. Warga kerjanya dipimpin oleh kebijaksanaan yang tinggi, disiplin diri yang kuat dan semangat kesetiaan yang tidak berbelah bahagi.
Mereka adalah warga yang sentiasa mengingati Allah SWT yang boleh berbangga dengan sumbangan sedaya upaya mereka, ikhlas menjalankan tugas. Berbeza dengan Teori Z oleh William Ouchi yang fokus kepada kesetiaan pekerja dengan menjamin kesejahteraan dan jaminan kerja sepanjang hayat. Mereka yang berpandu kepada Teori I – keihsanan dan keinsanan, fokus dan motivasinya ialah mencari kerahmatan, keberkatan dan paling utama ialah keredaan Allah SWT.
DR. YAHYA AHMAD ialah Perunding Pengurusan dari Anugerah HRM Consultant Sdn. Bhd.










