KUALA LUMPUR 21 Okt. – “Jika saya adalah Presiden MCA, perkara pertama yang saya akan lakukan adalah membawa parti keluar dari Barisan Nasional (BN),”
Demikian kenyataan bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr. Chua Soi Lek ketika berucap pada majlis pelancaran buku memoir berjudul ‘Like Me Or Hate Me, Rising From The Political Ashes: The Memoirs Of Chua Soi Lek’ di sini, hari ini.
Soi Lek mendakwa, kepemimpinan parti yang ada pada hari ini tidak mampu membuat keputusan mudah itu demi parti sehingga menjadikan MCA ‘bahan jenaka’ selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Sehubungan itu, pemimpin veteran MCA itu menyeru semua ahli parti mengundi dengan bijak pada pemilihan parti yang akan diadakan pada bulan depan.
“Saya menghabiskan hampir separuh hidup saya dalam parti ini dan hari ini saya bersama beberapa rakan parti berasa kecewa dan tidak puas hati kerana MCA sudah tidak seperti di waktu kegemilangan dahulu. Malah, apa yang memburukkan adalah kepemimpinan tertinggi semasa tidak mampu dan tidak mahu menyuarakan isu-isu melibatkan parti dan komuniti.
“Mengapa kepemimpinan tertinggi MCA yang ada pada hari ini tidak dapat membuat keputusan mudah sama ada untuk kekal atau keluar daripada BN. Jika saya adalah Presiden, perkara pertama saya lakukan bawa keluar parti dari BN.
“Kemudian kita ada pemimpin tertinggi yang kata MCA tidak akan keluar BN tetapi akan memecat UMNO daripada BN. Kenyataan itu telah menjadikan parti sebagai bahan lawak terbesar pada 2018,” katanya dalam majlis tersebut, hari ini. – UTUSAN ONLINE










