MERSING 30 Okt. – Suasana pagi di kawasan Taman Laut Sultan Iskandar, Pulau Aur dekat sini pada tanggal 28 September lalu sibuk dan seperti sedang berlaku pesta keramaian.
Kebanyakan pengunjung kelihatan sibuk dan mereka sekali-kali membongkok mengutip sesuatu lalu mengumpulkannya dalam beg plastik hitam dan dilonggokan di satu tempat.
Mereka sebenarnya merupakan lebih 40 sukarelawan daripada Iskandar Investment Berhad (IIB) dan agensi-agensi sekitar Mersing yang menjayakan program pembersihan pantai dan laut.
Program Saving Paradise yang berlangsung selama dua hari itu turut menyaksikan sukarelawan menyelam dan membersihkan permukaan dasar laut dan persisiran pantai-pantai di Pulau Aur.
Sebanyak 480 kilogram sampah berjaya dikumpulkan dan dibawa ke tanah besar di sini untuk dikitar semula melibatkan rakan strategik program berkenaan, iCycle Malaysia.
Selain syarikat itu yang terkenal dalam usaha kitar semula, penuntut Raffles University Iskandar (RUI) menyertai aktiviti tersebut dengan mengolah keceriaan pantai dan hidupan laut menjadi rekaan baju rasmi program Saving Paradise.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Operasi IIB, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad, program itu diharap dapat membantu usaha pemeliharaan kawasan laut dan pesisiran pantai daripada menjadi kawasan timbunan sampah hasil aktiviti pembangunan, pelancongan dan perikanan.










