Satu daripada 10 belia mahu bunuh diri - Utusan Malaysia

Satu daripada 10 belia mahu bunuh diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Tahap kesihatan mental dalam kalangan anak muda di negara ini semakin membimbangkan apabila kaji selidik Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 mendapati bahawa satu daripada 10 orang atau 10 peratus daripada 5.5 juta belia mengalami tekanan dan mahu membunuh diri.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kaji selidik itu juga menunjukkan sebanyak 6.9 peratus pernah cuba untuk membunuh diri, malah mendedahkan kematian disebabkan bunuh diri merupakan kedua tertinggi dalam golongan berusia dari 16 hingga 29 tahun di seluruh dunia ketika ini.

Namun, katanya, isu kesihatan mental masih lagi dianggap tabu dalam kalangan masyarakat dan tidak diambil serius oleh pelbagai pihak sekali gus menyebabkan mangsa tidak mendapat rawatan yang sewajarnya.

“Ramai yang menganggap isu kesihatan mental ini tidak penting, remeh-temeh, ada yang fikir hari ini tertekan, esok sihatlah balik, masih ramai yang tidak mengambil serius mengenai isu ini.

“Saya sendiri ada pengalaman buruk dengan rakan baik saya, pada awalnya kita tak perasaan pun dia murung, apabila jumpa seperti tidak ada masalah tetapi lama-kelamaan kemurungan yang dihadapi semakin teruk dan apabila sudah terlewat, dia hanya lihat bunuh diri sebagai jalan penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Young Minds, Take Charge!’ sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018 di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN