JURULATIH berpengalaman B. Sathianathan membuat keputusan mengejut apabila mahu meninggalkan Felda United untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Keputusan tersebut terpaksa dibuat ketua jurulatih pasukan berkenaan berikutan Felda United menghadapi kemelut penyusutan dana yang agak serius.
“Pihak pengurusan beritahu, saya akan kehilangan gaji sebanyak 60 peratus sekiranya masih berminat untuk kekal bersama Felda United.
“Sebagai jurulatih profesional, saya rasa mengundur diri adalah langkah terbaik kerana ia tidak setimpal dengan usaha saya,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Sathianathan menambah, keputusan itu juga terpaksa dilakukan berikutan masalah tersebut menyebabkan beliau tidak dapat melaksanakan rancangan pembaharuan terhadap skuad pada musim depan.
“Apabila pasukan mengalami kekurangan peruntukan, hasrat untuk mendapatkan pemain berkualiti bagi membolehkan Felda United menjadi pasukan yang kompetitif juga terbantut,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Sathianathan mengakui bakal membimbing sebuah pasukan di Utara tanah air, namun enggan mendedahkan lebih lanjut berhubung skuad berkenaan.
“Saya belum buat keputusan. Ada juga beberapa pasukan lain yang menghubungi saya, tetapi proses perbincangan masih dilakukan kerana saya tidak mahu terburu-buru buat keputusan,” jelasnya.









