KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri M. Saravanan mendahului bekas Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M. Ramasamy bagi pemilihan jawatan Timbalan Presiden MIC bagi penggal 2018-2021.
Menurut sumber MIC, Saravanan mendahului dengan 6,504 undi berbanding Ramasamy yang mendapat 3,564 undi setakat pukul 11 malam tadi.
“Keputusan pemilihan jawatan tersebut masih belum diterima daripada Kelantan, Perlis, Sabah dan Terengganu,” kata sumber tersebut kepada Kosmo! Ahad di sini malam tadi.
Para perwakilan MIC mula mengundi pada pukul 4 petang semalam bagi memilih Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan 21 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu.
Tiga jawatan Naib Presiden pula menyaksikan persaingan sengit 10 calon antaranya penyandang jawatan itu, Datuk T. Mohan, bekas Ketua Pemuda MIC, Datuk C. Sivaraajh, bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk L. Manickam dan bekas Pengerusi MIC Johor, Datuk M. Asojan.
Pada Jun lepas, Tan Sri S. A. Vigneswaran menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden MIC menggantikan Datuk Seri S. Subramaniam yang mengambil keputusan berundur. – K! ONLINE









