Saranan bercuti selari dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO sebelum ini - Utusan Malaysia

Saranan bercuti selari dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO sebelum ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 26 Okt. – Saranan bercuti seketika Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada jawatan Presiden UMNO sehingga kes pertuduhannya di mahkamah selesai adalah selari dengan keputusan Majlis Tertinggi parti, sebelum ini.

Syed Atif Syed Abu Bakar
Syed Atif Syed Abu Bakar 

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata, saranan itu dilihat sebagai usaha mengasingkan UMNO daripada menerima tempias negatif sekiranya seseorang pemimpin didapati bersalah oleh mahkamah.

Walau bagaimanapun katanya, jika seseorang pemimpin tersebut didapati tidak bersalah maka jawatan asal itu akan dikembalikan.

“Di sebalik pelbagai hujah dan pertimbangan, wujud kekhuatiran tentang imej parti akan dipermain-mainkan semata-mata pimpinan di bawah hendak mempertahankan individu pemimpin secara semberono. UMNO perlu berhati-hati dengan kelicikan perangkap politik.

“Sehubungan itu, sayap pemuda perlu berada dalam posisi yang profesional untuk membela yang hak dan menentang yang batil demi memelihara imej UMNO agar kembali diterima rakyat,” katanya di sini hari ini.

Semalam Pergerakan Pemuda UMNO sebulat suara mencadangkan Ahmad Zahid agar bercuti seketika daripada jawatan Presiden parti sehingga kes pertuduhannya di mahkamah selesai.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, cadangan itu bagi membolehkan Ahmad Zahid memberi tumpuan terhadap kes pertuduhannya di mahkamah.

Kata Asyraf Wajdi lagi, cadangan tersebut tidak mempunyai sebarang sentimen atau niat jahat untuk menjatuhkan Ahmad Zahid, sebaliknya memberi kebaikan kepadanya supaya dapat berehat.

Mengulas lanjut, Syed Atif yang juga Exco Pemuda UMNO berkata, ‘rumah tangga’ UMNO sedang diuji dengan perbezaan pandangan susulan daripada pendirian gerakan Pemuda  berhubung kedudukan Ahmad Zahid yang kini berhadapan dengan beberapa dakwaan di mahkamah.

Katanya, Pemuda UMNO bagaimanapun dikatakan tidak cermat dalam menetapkan pendirian sama ada perlu berada dalam posisi menyokong presiden, atau mempertahankan kredibiliti institusi presiden.

“Presiden telah melalui masa beberapa minggu untuk memberi penjelasan secara tertutup kepada pimpinan tertinggi keempat-empat peringkat berhubung tuduhan dan dakwaan terhadap beliau.

“Namun begitu, ia tidak berlaku selain daripada sedikit penjelasan terbuka di media massa bahawa dana ratusan juta disalurkan kepada tahfiz, surau dan perkara-perkara baik yang lain.

“Tidak pula diperjelaskan kepada pimpinan tentang bila dan di mana sumbangan itu dibuat kerana sebagai contoh, ahli-ahli UMNO di negeri Perlis tidak pernah dengar ada sumbangan sedemikian rupa untuk puluhan tahfiz, ratusan masjid dan ribuan surau di negeri ini. Maka, penerangan sehala sedemikian tampak tidak meyakinkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN