QUEENSLAND 19 Okt. – Seorang wanita di sini didakwa mengumpul dana berjumlah AS$39,000 (RM162,273) secara haram selepas menipu dirinya menghidap kanser.

BBC melaporkan, Lucy Wieland, 27, menggunakan media sosial untuk ‘mendedahkan’ kisahnya yang menghidap kanser ovari termasuk rutin rawatan di hospital.
Wieland didakwa membuka akaun GoFundMe bagi meraih bantuan kewangan dengan mempengaruhi kepercayaan orang ramai.
Wanita itu ditahan selepas mendapat maklumat daripada orang awam.
Beberapa gambar yang dimuat naik dalam akaun Istagramnya pada awal tahun ini menunjukkan Wieland memakai peralatan perubatan seperti topeng oksigen dan alat bantuan berjalan.
Selain itu, turut ditunjukkan gambar dia sedang menerima rawatan dan kepalanya botak.
“Keletihan kini menjadi isu dalam hidup saya. Namun saya tetap bersyukur atas semua sokongan yang diberikan,” tulisnya dalam Instagram.
Dalam pada itu, tidak dapat dipastikan sama ada teman lelakinya turut terlibat dalam kegiatan penipuan tersebut atau Wieland menghidap sebarang penyakit selain barah yang memerlukannya menerima rawatan di hospital.
Detektif Polis Queensland, Inspektor Chris Lawson berkata, kes tersebut disifatkan ‘sangat mengecewakan’ kerana ada pihak yang sanggup menipu semata-mata untuk mendapatkan keuntungan diri sendiri.
Jelasnya, penipuan Wieland terbongkar selepas orang ramai mengenal pasti ada yang tidak kena dalam kisah kanser wanita tersebut, sekali gus mendorong kepada siasatan polis.
Wieland kini dibebaskan dengan ikat jamin namun diarah menyerahkan pasport, selain bakal dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada Disember ini.










