Sanggup pertaruhkan nyawa demi putih? - Utusan Malaysia

Sanggup pertaruhkan nyawa demi putih?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMPAKNYA ramai juga yang mengecam tulisan Cekmek Molek berhubung ‘nasihat’ kepada wanita-wanita supaya mereka tidak memilih jalan pintas sekiranya ingin kurus. Kata mereka, penulis kolum ini bolehlah cakap macam-macam sebab diri sendiri sudah kurus.

Perlu diketahui, mengamalkan gaya hidup sihat melalui pemakanan dan senaman perlu dilakukan oleh semua tidak kira mereka itu sudah berbadan kurus. Ini kerana sesiapa pun boleh terkena penyakit.

Cekmek Molek tidak berhasrat pula untuk menyambung topik kurus tersebut. Minggu ini Cekmek Molek ingin merungkai pula isu wanita berhubung keterujaan golongan itu untuk berkulit putih.

Baru-baru ini gempar dalam media sosial mengenai wujudnya individu tertentu yang bertindak menjadi ‘doktor’ tidak bertauliah melakukan kerja ‘cucuk-mencucuk’ pelanggan mereka hanya di sebuah bilik hotel!

Amat menyeramkan apabila melihat satu posting Facebook yang mempromosikan suntikan pemutihan ini. Disertakan juga gambar pelanggan yang menjalani ‘rawatan’ itu dengan tangan yang sedang dicucuk.

Individu yang melakukan kerja itu pula berbangga apabila berjaya memperoleh pendapatan berpuluh ribu ringgit hasil ‘kerja’ tersebut.

Ramai wanita sekarang ini terpe­ngaruh dengan suntikan vitamin C (telah diharamkan di negara ini) kononnya boleh memutihkan kulit dalam masa singkat.

Sebenarnya tidak ada kajian klinikal yang membuktikan bahawa suntikan vitamin C boleh menyebabkan kulit menjadi putih. Malah, suntikan berkenaan boleh memudaratkan se­perti jangkitan pada kulit dan salur darah selain kerosakan buah pinggang.

Seorang pakar perunding perubatan, Dr. Rafidah Abdullah menerusi akaun Facebook miliknya turut mendedahkan tentang kegilaan ramai wanita yang sanggup mempertaruhkan nyawa semata-mata untuk jadi putih dan gebu.

Menurut beliau, sebarang prosedur melibatkan injeksi perlu dikendalikan oleh pengamal perubatan terlatih dengan cara pensterilan yang sangat bersih. Jika tidak, kuman amat mudah masuk ke dalam badan dan merebak sekelip mata sekali gus boleh menyerang otak sehingga boleh membawa maut. Tambahan pula, kita tidak tahu bahan apakah yang dimasukkan dalam suntikan itu.

“Prosedur ini hanya boleh dilakukan di hospital atau klinik berdaftar. Yang cucuk anda itu mesti ada kelayakan. Sila minta sijil mereka sebelum menghulurkan tangan anda kerana ia boleh merisikokan nyawa. Mari kita sama-sama doakan penjual ini mendapat kesedaran supaya berhenti memudaratkan (mungkin membunuh) orang lain,” katanya.

Cekmek Molek setuju sangat dengan pandangan doktor ini. Tetapi bukan sahaja penjual yang perlu ada kesedaran tetapi pembeli juga. Kenyataan Kementerian Kesihatan semalam amat melegakan apabila sebanyak 251,782 produk kesihatan yang bernilai RM2.8 juta telah dirampas kerana disyaki mengan­dungi racun seperti pil gugur, antibiotik, steroid termasuk suntikan vitamin C.

Tindakan turut diambil terhadap 339 peniaga yang mengiklankan produk kesihatan dengan menutup seba­nyak 403 laman sesawang dan 723 akaun laman sosial pula di­sekat.

Buat wanita yang terlalu ghairah mahu jadi putih, berfikirlah sebelum mahu mengubah warna kulit anda. Terimalah seadanya jika dilahirkan sudah berkulit gelap. Bersyukurlah anda tidak cacat. Tidak guna muka putih tetapi hati anda hitam!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN