LIVERPOOL 25 Okt. – Jurgen Klopp berharap pengkritik yang mempersoalkan keupayaan Mohamed Salah pada awal musim ini menelan semula kata-kata mereka selepas dua gol bintang Mesir itu membantu Liverpool membenam Red Star Belgrade 4-0 dalam Liga Juara-Juara hari ini.
Lebih manis, Salah melengkapkan jaringan ke-50 bersama Reds sejak tiba di Anfield dari Roma, musim lalu.
Penyerang tersebut yang menamatkan kemarau empat perlawanan tanpa gol ketika menumpaskan Huddersfield 1-0 Sabtu lalu, menjaringkan gol kedua Liverpool pada minit ke-45.
Dia kemudian meledak jaringan kedua peribadi menerusi sepakan penalti pada minit ke-51.
Dua lagi gol Liverpool disempurnakan oleh Roberto Firmino dan Sadio Mane, masing-masing pada minit ke-20 dan 80.
“Saya tidak pernah meragui Salah, dia juga tidak pernah meragui dirinya tetapi kalau anda masih bercakap tentang perkara itu maka ia mungkin sengaja dibuat-buat.
“Ia (dua jaringan Salah) bagus kerana dia sedikit sebanyak menutup mulut pengkritik,” kata Klopp.
Salah, 26, meledak jaringan ke-50 hanya dalam 65 penampilan bersama Liverpool, sekali gus menjadi pemain paling pantas berjaya mencipta rekod tersebut.
“Ia hebat. Saya sangat gembira kerana berjaya menjaringkan gol ke-50 bersama Liverpool.
“Kami tahu bagaimana hendak bermain sebagai satu pasukan dan sangat memahami kualiti masing-masing,” kata Salah.
Buat kali pertama, rangkaian serangan Salah, Mane dan Firmino akhirnya meledak gol dalam perlawanan yang sama, musim ini. – AFP









