SELAYANG – Salah seorang tertuduh kes menyebabkan kematian seekor kucing betina bunting dalam mesin pengering pakaian di sebuah kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria, Batu Caves pada pertengahan September lalu dilepas tanpa bebas oleh Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.
Hakim Rasyihah Ghazali membuat keputusan itu terhadap S. Satthiya, 26, yang bekerja sebagai juruteknik elektrik selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie memaklumkan tidak akan meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh.
Nurul Ain berkata, pihak pendakwaan membuat keputusan itu, selepas menerima arahan daripada Pengarah Jabatan Veterinar Selangor untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Satthiya.
“Bagaimanapun pihak pendakwaan tetap akan meneruskan pertuduhan terhadap seorang lagi tertuduh Mohanraj, 41, dan semua dokumen akan diserahkan kepada tertuduh” katanya pada sebutan semua kes itu sebentar tadi.
Pada 20 September lalu, Satthiya dan Mohanraj yang merupakan pemandu teksi itu mengaku tidak bersalah telah dengan kejam menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di premis Dobi Queen Self Service Laundry, Taman Gombak Ria antara pukul 12.54 tengah malam hingga 1 pagi pada 11 September lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan seksyen itu, kedua-dua tertuduh boleh dihukum denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pada 14 September lalu, Kosmo! melaporkan polis giat memburu tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian membunuh seekor kucing bunting dengan memasukkan haiwan itu ke dalam mesin pengering di sebuah premis dobi layan diri di Taman Gombak Ria. – K! ONLINE









