SKUAD Sabah yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos mengharapkan keajaiban untuk meraih kemenangan pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Ahad ini bagi merealisasikan impian mereka untuk mara ke final Piala Malaysia 2018.
Perlawanan getir tersebut bakal menyaksikan Sabah berdepan dengan Perak selepas mengalami kekalahan besar 0-5 pada separuh akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh, 7 Oktober lalu.
Jurulatih Sabah, Jelius Ating berkata, meskipun akan menentang skuad The Bos Gaurus di gelanggang sendiri, namun ia bukan tiket buat Sabah berada dalam keadaan selesa.
“Bermain di padang sendiri ‘lebih’ mencabar kerana kami enggan membiarkan penyokong pulang dengan perasaan hampa.
“Lagipun, perlawanan Ahad ini umpama memikul misi penting kerana Sabah perlu berjuang pada tahap tertinggi bagi memperoleh sekurang-kurangnya lima gol atau lebih bagi melayakkan kami ke final Piala Malaysia musim ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada sesi latihan di Stadium Likas, Kota Kinabalu semalam.
Tambah Jelius, walaupun dibenam 5-0 oleh skuad The Bos Gaurus pada aksi separuh akhir pertama, beliau yakin anak-anak buahnya mampu beraksi dan mempamerkan permainan yang baik.
“Sabah mempunyai peluang selama 90 minit lagi untuk menang memandangkan perlawanan bola sepak macam-macam keajaiban boleh berlaku.
“Misalnya sebelum ini di Stadium Likas, Sabah pernah menewaskan Terengganu 6-1 dan menang 5-2 ketika berdepan Selangor. Justeru, tidak mustahil kami dapat menewaskan Perak pula pada Ahad ini,” ujarnya.










