Runtuhan susulan mungkin berlaku jika hujan -JMG - Utusan Malaysia

Runtuhan susulan mungkin berlaku jika hujan -JMG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 21 Okt. – Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) tidak menolak kemungkinan berlaku runtuhan susulan sekiranya hujan ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Bukit Kukus, Relau.

Pengarah JMG Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Azhari Ahmad
Pengarah JMG Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Azhari Ahmad 

Pengarah JMG Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Azhari Ahmad berkata, bagaimanapun kemungkinan itu telah diminimumkan selepas kerja-kerja mengalihkan aliran alur sungai semula jadi di bahagian atas daripada memasuki cerun dilakukan semalam.

“Kerja-kerja mengalihkan alur sungai ini penting kerana runtuhan hanya akan berlaku jika ada takungan air dalam alur sungai berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, kerja-kerja mencari dan menyelamat juga mungkin dihentikan buat sementara waktu sebagai langkah keselamatan sekiranya hujan hari ini.

“Sebenarnya tanah di kawasan ini boleh dikategorikan sebagai tanah jenis peroi yang secara komposisinya hanya terdiri daripada pasir dan lumpur sahaja.

“Jadi, apabila alur sungai itu dialihkan, ia akan menjadi kecil dan tidak dapat menakung lebih banyak air di kawasan tersebut,” ujar beliau.

Azhari memberitahu, pasukannya yang terdiri daripada tujuh pegawai akan berada di lokasi terbabit sepanjang hari bagi memantau perkembangan struktur tanah dari semasa ke semasa.

“Tumpuan kami setakat ini hanyalah untuk membantu polis dan bomba dalam operasi SAR (mencari dan menyelamat),” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN