KUALA LUMPUR, 31 Okt. – Rundingan melibatkan semua kaum akan dilakukan sebelum Malaysia meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana menteri mengakui ia bukan perkara mudah memandangkan Malaysia merupakan negara dengan penduduk berbilang kaum masing-masing dengan kepentingan tertentu.
“Kita akan tandatangani setelah rundingan dengan semua kaum di Malaysia.
“Perkara ini bukan mudah bagi Malaysia kerana terdapat pelbagai kaum yang masing-masing sensitif terhadap perkara-perkara tertentu,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Polisi Kebangsaan Mengenai Industri 4.0, atau Polisi Industri4WRD, di sini hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia akan meratifikasi ICERD serta lima triti lain berkaitan hak asasi manusia seawal suku pertama tahun depan.
Bagaimanapun, kenyataannya itu menimbulkan keresahan beberapa pihak antara lain berhubung kemungkinan terhakisnya hak keistimewaan orang Melayu. – BERNAMA










