JOHOR BAHRU 22 Okt. – Golongan pertengahan (M40) berpeluang memiliki kediaman idaman berikutan keputusan kerajaan negeri memperkenalkan kategori baharu rumah mampu milik berharga RM250,000 menjelang hujung tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan itu dibuat berikutan kesukaran golongan berkenaan yang berpendapatan bulanan antara RM8,000 hingga RM12,000 untuk memiliki rumah dengan harga bersesuaian.
“Kita mahu mewujudkan kategori baharu ini kerana menyedari golongan berkenaan berdepan masalah untuk memiliki rumah sendiri. Ini kerana tidak layak memohon rumah mampu milik berharga RM150,000 dan ke bawah, selain tidak mampu membeli rumah dalam pasaran terbuka yang harganya lebih tinggi.
“Justeru, dengan adanya rumah mampu milik berharga RM250,000 yang dirancang dibina menjelang penghujung tahun ini, impian golongan ini untuk memiliki rumah sendiri bakal menjadi kenyataan,” katanya selepas merasmikan Seminar Hartanah di Johor: Peluang dan Cabaran di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, pembinaan rumah kategori baharu itu dijangka melibatkan tujuh peratus daripada keseluruhan 100,000 unit rumah mampu milik yang akan dibina kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri menjelang tahun 2023.
“Kita sudah mengenal pasti beberapa lot tanah yang bersesuaian bagi pembinaan rumah berkenaan yang juga milik anak syarikat kerajaan negeri (GLC),” katanya.
“Lokasi yang dipilih adalah di kawasan bandar memandangkan kita mewujudkan kategori rumah untuk golongan M40, sekali gus mengurangkan masalah kemiskinan bandar,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri akan mengadakan pertandingan bagi penjenamaan semula nama-nama perumahan Johor yang berlangsung antara 22 hingga 28 Oktober ini selain turut menawarkan hadiah wang tunai RM300, sijil dan piala, katanya.










