MARANG – Rumah Generasiku Sayang (RGKS) Negeri Terengganu yang pertama dilancarkan di Bukit Payong sini hari ini bagi memberi perlindungan kepada wanita atau remaja yang hamil tanpa ikatan perkahwinan.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Mohd. Jusoh berkata, pusat perlindungan yang diberi nama ‘Raudhatul Nisaa’ itu merupakan kuarters lama Klinik Kesihatan Bukit Payong yang dibaik pulih dan boleh menempatkan seramai lapan orang penghuni.
Menurut Mohd., rumah tersebut ditubuhkan bagi menjaga kebajikan serta memberi perlindungan keselamatan terhadap ibu dan bayi yang akan dilahirkan.
“Kita mahu memastikan remaja yang terlibat mendapat rawatan antenatal serta postnatal, sokongan psikososial, pendidikan kesihatan mengenai kesihatan bayi serta bimbingan kerohanian supaya mereka dapat menghindari perkara sama daripada berulang.
“Pusat perlindungan ini turut menjadi platform bagi meningkatkan jati diri penghuni dan pembangunan ekonomi sebagai persediaan untuk mereka kembali ke pangkuan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Rumah Generasiku Sayang Negeri Terengganu di Klinik Kesihatan Bukit Payong di sini hari ini.
Jelas beiau, selain daripada lokasi strategik berhampiran fasiliti kesihatan, penghuni rumah itu turut diberi latihan kemahiran hidup seperti menjahit dan memasak. – K! ONLINE










