PITTBURGH, Pennsylvania – Seorang lelaki bersenjata berdepan 29 pertuduhan jenayah ganas selepas melepaskan tembakan semasa upacara menamakan bayi di sebuah rumah ibadat orang Yahudi atau Saumaah di bandar Pittsburgh, menyebabkan 11 orang terbunuh dan enam yang lain cedera sekali gus serangan anti-Yahudi terburuk dalam sejarah moden Amerika Syarikat (AS).
Penembak yang dikenal pasti sebagai Robert Bowers, 46, dilaporkan menjerit, “Semua Yahudi mesti mati” ketika dia menceroboh masuk ke dalam Saumaah Tree of Life kelmarin.
Dia ditahan selepas berbalas tembakan dengan polis dan dipindahkan ke sebuah hospital.
Pendakwa raya AS mengenakan 29 pertuduhan jenayah persekutuan terhadap Bowers termasuk 11 pertuduhan menggunakan senjata api untuk membunuh dan 11 pertuduhan menghalang upacara keagamaan sehingga menyebabkan kematian.
Pihak berkuasa berkata, suspek boleh dihukum mati jika didapati bersalah.
Laman Facebook penyerang tertera perkataan ‘orang Yahudi adalah anak syaitan” sebelum serangan itu berlaku.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Donald Trump mengutuk kejadian itu sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Beliau mengarahkan semua bendera di White House, tempat awam, pos tentera dan pangkalan tentera laut dikibarkan separuh tiang sehingga Rabu ini sebagai penghormatan kepada mangsa tragedi itu.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 60 tahun yang menghadiri upacara keagamaan tersebut, Stephen Weiss berkata, dia mendengar berpuluh-puluh das tembakan dari lobi Saumaah tersebut.
“Kami menghadiri upacara di Saumaah ini apabila terdengar bunyi bising. Saya mengecam bahawa ia bunyi tembakan,” katanya.
Menurut pihak berkuasa, Bowers membawa selaras raifal tempur dan sekurang-kurangnya tiga pucuk pistol apabila dia melepaskan tembakan sejurus sebelum pukul 10 pagi (waktu tempatan).
“Keadaan selepas itu adalah yang paling buruk pernah saya lihat dan saya pernah berada di lokasi pesawat terhempas,” kata pengarah keselamatan awam Pittsburgh, Wendell Hissrich.
Beliau mengesahkan bahawa 11 orang terbunuh dan enam yang lain cedera, namun kesemuanya bukan kanak-kanak.
AS menyaksikan peningkatan mendadak insiden anti-Yahudi, meningkat 57 peratus dari tahun 2016 hingga 2017, daripada 1,267 kes kepada 1,986 kes, demikian menurut kumpulan hak asasi pro-Yahudi di negara itu, Liga Anti Fitnah (ADL).
ADL percaya insiden tembakan di Pittsburgh itu merupakan serangan paling berdarah seumpamanya dalam sejarah AS. – AFP










