Rugi RM3.8 bilion bencana gempa, tsunami - Utusan Malaysia

Rugi RM3.8 bilion bencana gempa, tsunami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 22 Okt. – Tragedi berganda gempa bumi dan tsunami yang memusnahkan Sulawesi Tengah telah menyebabkan ke­ru­gian ekonomi sebanyak 13.82 trilion rupiah (RM3.8 bilion), menurut laporan data Badan Pengurusan Nasional Bencana (BNPB).

Sehingga semalam seramai 2,256 mangsa disahkan terkorban, seramai 4,612 orang cedera dan 223,751 orang kehilangan tempat tinggal akibat bencana alam yang melanda wilayah Palu, Donggala, Sigi dan Parigi Moutong.

Lapor portal Jakarta Post, ki­ra-kira 68,451 rumah, tempat ibadat (327), sekolah (265), pejabat (78) dan 362 kedai rosak dalam tragedi itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho, kerugian dan kerosakan akibat bencana alam itu dijangka terus meningkat berikutan data yang digunakan sekarang adalah bersifat sementara.

Jumlah kerugian berkenaan meliputi sebanyak 1.99 trilion rupiah (RM54 juta) kerugian pendapatan dan 11.83 trilion rupiah (RM3.2 bilion) kerugian fizikal.

“Kerosakan paling teruk berlaku di kawasan penempatan. Hampir semua bangunan di sepanjang pantai Teluk Palu musnah atau rosak teruk. Tanah jerlus di kawasan perumahan Petobo, Jono Oge dan Sibalaya turut menyebabkan beribu-ribu rumah hilang,’’ katanya.

Sutopo menganggarkan pro­ses membaik pulih dan pembinaan semula akan menelan kos lebih 10 trilion rupiah (RM2.7 bi­lion).

“Ini bukan tugas mudah te­ta­pi kerajaan pusat dan pihak pentadbiran wilayah bersedia untuk membina semula mengikut prinsip bina semula lebih baik dan selamat,’’ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini