PEKAN 24 Okt. – Penghibur terkenal Indonesia, Datuk Rosa Roslaina Handiyani atau Rossa dan artis senior tanah air merupakan antara 76 individu menerima darjah kebesaran Pahang sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini hari ini.
Rossa, 40, anak kelahiran Sumedang, Indonesia dianugerahkan darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Ketika ditemui pemberita selepas istiadat itu yang disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Rossa menyifatkan penganugerahan itu sebagai hadiah terindah sempena ulang tahun kelahirannya pada 9 Oktober lalu.
Menurutnya, selain Anugerah Khas di Anugerah Planet Muzik bulan lalu, penganugerahan darjah dari Istana Pahang bakal menjadi pemangkin karier seninya dalam industri muzik serantau.
“Mungkin ini merupakan tahun bertuah saya dan darjah SSAP ini adalah hadiah hari lahir terbaik serta satu penghargaan yang tidak terhingga sepanjang 21 tahun berkecimpung dalam industri seni.
“Arena muzik di Malaysia dan Indonesia saling mendukung dan diterima baik. Penganugerahan ini juga memberikan saya tanggungjawab yang lebih besar dalam memartabatkan lagi arena muzik serantau,” katanya. – UTUSAN ONLINE










