PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sedang meneliti perlembagaan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sebelum meluluskan pendaftarannya, kata Presiden Penaja Putra, Datuk Ibrahim Ali.
Beliau berkata, semua prosedur operasi standard (SOP) bagi pendaftaran Putra telah dipenuhi dan RoS sedang meneliti perlembagaan parti itu bagi memastikan tidak timbul bantahan daripada anggota parti pada masa akan datang.
“RoS akan panggil semula (jawatankuasa penaja) dalam dua ke tiga hari lagi untuk mengemas kini dan membuat pembetulan (pada perlembagaan),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan RoS.
Ibrahim dan beberapa anggota jawatankuasa penaja Putra hari ini bertemu dengan Ketua Pengarah RoS, Masyati Abang Ibrahim di ibu pejabat RoS di sini, bagi membincangkan perkembangan permohonan pendaftaran parti tersebut yang dimohon lebih dua bulan lepas.
Ditanya sama ada Putra akan bekerjasama dengan mana-mana parti lain selepas pendaftarannya diluluskan kelak, beliau berkata perkara itu hanya akan diputuskan pada mesyuarat agung pertama parti itu nanti. – Bernama










