MANCHESTER 23 Okt. – Sambil tersenyum, Cristiano Ronaldo menegaskan, dia adalah pemain contoh sewaktu berada di dalam ataupun di luar padang, pada ketika tuduhan rogol dilemparkan terhadap pemenang lima kali Ballon d’Or itu di Amerika Syarikat.
“Saya tahu saya adalah pemain contoh, 100 peratus, baik di dalam dan di luar padang,” kata Ronaldo dalam sidang akhbar menjelang perlawanan antara Manchester United dan Juventus pada Liga Juara-Juara, esok (awal pagi Rabu waktu Malaysia).
Bekas model Amerika Syarikat, Kathryn Mayorga, 34, menuduh Ronaldo merogolnya pada 13 Jun 2009 sebelum pemain itu menyertai Real Madrid dari United.
Ronaldo tetap berkeras menafikan dakwaan tersebut dalam kenyataan yang dikeluarkan lebih dua minggu lalu dan mendapat sokongan daripada kelab baharunya.
“Saya sentiasa tersenyum, saya seorang lelaki yang gembira. Saya bersyukur kerana bermain dengan sebuah kelab hebat. Saya memiliki keluarga hebat dan memiliki empat orang anak serta saya sihat. Saya mempunyai segala-galanya, Jadi, perkara lain tidak mengganggu saya. Saya berada dalam keadaan baik,” tambah Ronaldo.
Dalam sidang akhbar pertamanya sejak dakwaan tersebut tersebar, Ronaldo sering menekankan terhadap kegembiraannya dikelilingi persekitaran baru di Itali selepas menyertai Juve dari Real dengan harga 112 juta euro (RM535 juta), Julai lalu.
Di luar padang, ekoran dakwaan tersebut, harga saham Juventus telah jatuh merudum dan penaja Ronaldo, Nike serta EA Sports menyuarakan kebimbangan mereka.
Bagaimanapun, persembahan Ronaldo di atas padang tidak terjejas sama sekali dan bintang Portugal itu telahpun meledakkan lima gol dalam enam penampilan terakhir Serie A.
“Saya tidak akan menipu dalam situasi ini. Peguam saya amat yakin dan sudah tentu saya juga begitu. Apa yang paling penting, saya seronok bermain bola sepak, saya juga gembira dengan kehidupan saya sekarang.
“Selebihnya, saya memiliki insan-insan yang mengambil berat terhadap kehidupan saya. Sudah tentu, kebenaran akan terserlah juga nanti. Jadi, saya berada dalam keadaan baik,” jelasnya. – AFP










