KUCHING – Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak berjaya merampas pelbagai rokok dan arak bernilai RM196,250 dalam tiga serbuan dijalankan pada hari ini.
Komandernya, Datuk Khaw Kok Chin berkata, serbuan tersebut diketuai tiga pegawai dan 16 anggota risik Ibu Pejabat serta Batalion 11 bersama empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, risikan dibuat selama sebulan terhadap sebuah kedai di Jalan Stutong, sebuah rumah teres di Batu 9 dan rumah semi D dipercayai dijadikan stor di Batu 11, Jalan Kuching-Serian.
“Serbuan pertama pukul 10 pagi tadi melibatkan suspek berusia 37 tahun yang ditahan bersama 175 kotak bir pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM8,750.
“Serbuan kedua pula menyaksikan seorang lagi suspek berusia 68 tahun ditahan dan merampas 20 kotak berisi 1,000 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM25,000 ,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PGA Briged Sarawak sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, serbuan ketiga pula berjaya merampas 5,500 rokok pelbagai jenama bernilai RM162,500 di sebuah rumah.
Katanya, rumah itu juga dipercayai dijadikan sebagai stor transit barangan seludup berkenaan.
“Barang seludup ini dipercayai datang dari negara jiran melalui laluan darat dan laut.
Jelasnya, PGA melalui pasukannya dalam Op Libas akan terus memantau, melakukan risikan dan bertindak terhadap kegiatan penyeludupan meskipun sudah melepasi sempadan di seluruh negeri ini,” jelasnya. – K! ONLINE










