Road to MAHA peringkat Terengganu sasar 50,000 pengunjung - Utusan Malaysia

Road to MAHA peringkat Terengganu sasar 50,000 pengunjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Kira-kira 50,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang tiga hari program Road to MAHA (Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa) 2018 peringkat Terengganu bermula hari ini di pekarangan Pejabat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Manir di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, program yang julung kali dianjurkan itu melibatkan 70 buah gerai pameran dari pelbagai jabatan, agensi, pihak swasta termasuk usahawan tempatan. 

Menurut beliau, program tersebut merupakan sebahagian daripada promosi MAHA 2018 yang akan diadakan bermula 22 November hingga 2 Disember depan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang, Selangor. 

“Road To MAHA 2018 merupakan medan pertemuan antara penduduk tempatan dengan agensi-agensi dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mereka dapatkan khidmat nasihat atau maklumat semasa. 

“Selain itu, kita turut menjalankan sesi ‘Happy Hour’ iaitu jualan promosi selama 10 minit melibatkan pelbagai jenis produk pertanian yang harganya jauh lebih murah daripada harga pasaran,” katanya selepas merasmikan Road To MAHA 2018 peringkat Terengganu di pekarangan Pejabat MARDI, Manir di sini hari ini. 

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. 

Mengulas lanjut, Azman berkata, program selama tiga hari itu turut menyasarkan nilai jualan sehingga mencecah RM500,000. 

“Semasa sesi jualan ‘Happy Hour’, para pengunjung berpeluang untuk membeli hasil laut, barangan harian, pelbagai jenis anak pokok termasuk produk makanan dengan potongan harga sehingga 10 peratus. 

“Turut diadakan, pertandingan lembu sado, pameran penyu comel, demonstrasi sate ikan aye (tongkol), forum agama serta seminar buat para usahawan,” ujarnya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN