AMMAN Jordan 6 Okt. – Umat Islam disarankan supaya menyalurkan sumbangan dan derma untuk rakyat Palestin melalui saluran yang diakui sah berikutan dianggarkan AS$2 hingga AS$3 bilion (RM8 hingga RM12 bilion) sumbangan pelbagai pihak di seluruh dunia tidak diterima oleh pihak yang disasarkan di Palestin.
Menurut Menteri Hal Ehwal Islam Jordan, Prof. Dr. Abdelnaser Abu Al Basal, pihak berkuasa Israel hanya mengiktiraf tiga pihak untuk menerima sumbangan tersebut.
Kata beliau, tiga pihak tersebut ialah Tabung Yayasan Kebajikan Hashimiah untuk pengimarahan Masjid Al-Aqsa dan Masjid Rock of Dome dan Jabatan Haiah Hashimiah untuk kebajikan masyarakat Gaza.
Katanya, yang ketiga ialah Kementerian Wakaf, Kedutaan Jordan dan Kedutaan Palestin.
“Kita hanya menerima AS$5 juta (RM20 juta) daripada AS$2-3 bilion yang disumbangkan oleh masyarakat antarabangsa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kementerian Aukaf dan Hal Ehwal Islam di sini, hari ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs menyampaikan sumbangan rakyat Perlis berjumlah RM120,000 menerusi solat Jumaat di masjid-masjid sejak Februari lalu.
Sebahagian wang tunai itu adalah untuk membaik pulih dan mengimarahkan masjid Al Aqsa manakala bakinya adalah bagi tujuan kebajikan penduduk di Semenanjung Gaza.
Yang turut hadir Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.
Menurut Abdelnaser, kementerian tersebut telah menggajikan lebih 900 orang untuk menjaga Al Quds dan menguruskan kebajikan rakyat Palestin.
Beliau seterusnya menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin menyampaikan sumbangan kepada penduduk Palestin supaya menggunakan saluran sah yang dinyatakan itu agar sampai kepada mereka yang sepatutnya.
Beliau juga melahirkan ucapan terima kasih kepada Tuanku Syed Faizuddin kerana berkenan menziarahi Al-Quds kerana ia memberi motivasi dan suntikan semangat kepada rakyat Palestin mempertahankan masjid ketiga suci umat Islam tersebut. – UTUSAN ONLINE











