JOHOR BAHRU 31 Okt. – Kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 untuk Jawatankuasa Johor Innovation Valley (JIVe) dalam usaha memperkasakan bidang rekacipta dan inovasi di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, dana itu untuk fasa pertama yang akan mengambil masa kira-kira setahun melibatkan pelbagai hasil kajian.
“Kalau hasil kajian dan bidang inovasi baik dan berkembang, kita akan tambah lagi peruntukan selepas ini.
“Jawatankuasa ini akan melibatkan kepakaran daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan kolej-kolej yang terdapat di Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup Program Innovate Johor 2018 di Dewan Sultan Iskandar, UTM Skudai, di sini sebentar tadi.
Pada majlis itu turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dengan Digital Johor bagi memperkasakan usahawan digital di universiti itu.
Yang turut hadir Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Wahid Omar dan Timbalan Naib Caselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail. – UTUSAN ONLINE











