KUALA LUMPUR 12 Okt. – Hadiah wang tunai berjumlah RM40,000 bakal menjadi rebutan 20 pasukan dalam Kejohanan Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG) MY/SG 2018 di Battle Arena Malaysia, pusat beli-belah Jaya bermula esok hingga Ahad ini.
Pengarah Majlis PUBG MY-SG 2018, Johnson Goh berkata, matlamat utama kejohanan tersebut diadakan adalah untuk menarik minat selain mengembangkan lagi platform e-Sukan di negara ini.
“Kami menerima sambutan yang cukup menggalakkan apabila menerima pendaftaran sebanyak 160 pasukan namun hanya 100 pasukan sahaja boleh mengambil bahagian. Jadi, selebihnya kami terpaksa tolak. Kami turut mengundang tiga pasukan dari Singapura
“Sabtu dan Ahad ini merupakan pusingan akhir selepas lima pusingan kelayakan, dengan empat pasukan mara ke final.
“Tawaran hadiah wang tunai diberikan hingga tempat kelapan. Juara akan menerima RM16,000 manakala pasukan di tempat kedua mendapat RM8,000 dan ketiga RM6,000,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Johnson berkata, empat pemenang utama akan dihantar ke Bangkok untuk menyertai Kejohanan Asia Tenggara (SEA) PUBG yang akan diadakan pada 27 dan 28 Oktober ini yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$100,000 (RM415,000). – UTUSAN ONLINE











