RM310.1 juta mengalir keluar - Utusan Malaysia

RM310.1 juta mengalir keluar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Pelabur asing melupuskan RM310.1 juta ekuiti tempatan di Bursa Malaysia minggu lalu, meningkat daripada aliran keluar RM128.7 juta pada ming­gu sebelumnya.

Penganalisis MIDF Research, Adam M. Rahim berkata, minggu itu bermula de­ngan aliran masuk RM34 juta pada Isnin ketika China mengumumkan langkah-langkah untuk mengurangkan ketegangan pembiayaan syarikat swasta untuk memulihkan keyakinan terhadap ekonomi.

Menurut beliau, aliran masuk itu kemudiannya diterbalikkan apabila Bursa Malaysia mencatatkan aliran keluar tertinggi sepanjang minggu RM138.7 juta pada Selasa.

“Ia selari dengan rakan-rakan serantau yang lain iaitu Korea Selatan dan Taiwan yang kedua-duanya mengalami penjualan besar-besaran lebih daripada AS$400 juta (RM1.67 bilion).

ADAM M. RAHIM
ADAM M. RAHIM 

“Hari-hari seterusnya ke­kal bercampur-campur. Pe­la­bur asing terus menjual RM52.4 juta pada Rabu, sebe­lum mencapai angka yang lebih tinggi RM101 juta pada Khamis,” katanya dalam laporan aliran dana mingguan di sini hari ini.

Adam berkata, terdapat pengalihan dana dari pasaran global berikutan kejatuhan saham teknologi Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan kejatuhan terbesar Wall Street dalam sehari untuk tempoh tujuh tahun, memadamkan keuntungan sepanjang tahun setakat ini.

Beliau berkata, pasaran pada Ju­maat kembali te­nang apabila jualan asing menurun kepada RM52 juta selepas pemulihan Wall Street dalam tempoh semalaman.

“Dengan hanya tiga hari dagangan pada Oktober, bulan itu menyaksikan jumlah aliran keluar terkumpul RM1.56 bilion, sekali gus menjadikan keseluruhan aliran keluar tahun ini kepada RM10.1 bilion.

“Ia mengimbangi kira-kira 98 peratus daripada aliran masuk tahun lepas, namun, Malaysia masih kekal sebagai negara dengan aliran keluar kedua yang paling rendah di antara empat pasaran ASEAN yang kami pantau,” katanya.

Adam berkata, penyertaan dalam kalangan pelabur di pasaran runcit kekal berdaya tahan kerana nilai dagangan purata harian (ADTV) mingguan adalah 5.4 peratus lebih tinggi dan kekal melebihi RM800 juta.

“Sementara itu, ADTV ming­guan bagi dana institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing mencecah paras di bawah RM2 bilion dan RM1 bilion,” jelas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN