TEMERLOH 16 Okt. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengutip sebanyak RM1.47 juta dalam empat program diskaun kutipan bayaran saman yang dilaksanakan di negeri ini setakat ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad berkata, empat program yang diadakan di Kuantan, Raub, Lipis dan Temerloh itu berjaya menyelesaikan 13,042 saman.
“Sebanyak RM793,420 bayaran dikutip dalam program di Kuantan, Raub (RM75,000), Lipis (RM84,000) dan terbaharu di daerah ini berjaya mengutip sebanyak RM521,000.
“Program ini mendapat sambutan yang mana kita dapat melihat kaunter bayaran saman sesak apabila berpusu-pusu orang ramai datang untuk menyemak dan melunaskan saman,” katanya dalam sidang akhbar dalam Program Fun Run & Fun Ride 2018 di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD), di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Rosli Ab. Rahman; Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zundin Mahmood dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh.
Mohd. Zakaria berkata, program diskaun saman yang diadakan sempena program tertentu itu membolehkan orang ramai diberikan diskaun saman sebanyak 50 peratus.
Beliau berkata, menerusi program berkenaan dapat memberi peluang kepada orang ramai melunaskan saman seterusnya memeriahkan lagi karnival yang dianjurkan.
“Orang ramai boleh melunaskan saman terpilih seperti tidak memakai tali pinggang keledar dan memandu melebihi had laju. Saman yang tidak boleh diberi diskaun melibatkan Op Selamat, tiada lesen kenderaan, kemalangan, mempunyai waran tangkap dan saman kes bicara mahkamah,” katanya.










