Saya ada terbaca yang wanita hamil mudah terkena infeksi penyakit toksoplasmosis yang dibawa oleh kucing. Mohon doktor jelaskan tentang penyakit ini?.
* Zura, Kota Bharu
Jawapan
Ramai yang beranggapan penyakit toksoplasmosis atau lebih dikenali sebagai penyakit bawaan kucing ini hanya akan menjangkiti golongan pembela kucing sahaja. Namun hakikatnya penyakit ini boleh menjangkiti kepada sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi golongan yang rentan berisiko tinggi menghidap penyakit ini. Oleh itu, semua wanita perlu lebih berwaspada jika ia berlaku dalam kalangan wanita yang hamil.
Pada wanita hamil yang terinfeksi toksoplasmosis sebelum kehamilan, janin yang belum dilahirkan akan terlindung daripada penyakit ini kerana ibu tersebut telah memiliki imunisasi atau kekebalan terhadap toksoplasmosis. Imunisasi ini pada umumnya adalah seumur hidup.
Semasa hamil, sesetengah jangkitan lebih kerap terjadi daripada biasa dan sesetengahnya boleh membawa risiko kepada ibu dan anak dalam kandungan. Infeksi disebabkan toksoplasmosis boleh juga mengakibatkan gangguan kehamilan seperti keguguran.
Terdapat beberapa faktor atau punca yang disabitkan dengan keguguran berulang. Faktor utama adalah kerana kebanyakan keguguran dikaitkan dengan masalah janin itu sendiri yang mempunyai masalah genetik atau kromosom yang mengakibatkan janin tidak dapat membesar dengan baik.
Jangkitan kuman dalam darah wanita yang mengandung adalah salah satu penyebab keguguran berulang. Wanita yang mengandung kadang-kadang tidak menunjukkan sebarang tanda penyakit atau kesakitan, malangnya mereka mengalami keguguran.
Diagnosis dibuat daripada darahnya yang diperiksa, didapati ia dijangkiti kuman. Kuman pada darah itulah yang merosakkan kandungan. Antaranya seperti kesan beberapa jenis virus, iaitu sitomegalovirus (Cytomegalo Virus-CMV), herpes simpleks (Herpes Simplex Virus-HSV) dan juga rubela. Begitu juga dengan sejenis parasit toksoplasmosis yang ada pada kucing, boleh menyebabkan keguguran.
Oleh itu, bagi wanita yang sering mengalami keguguran dan memelihara kucing, perlulah sentiasa berhati-hati. Biarpun kucing peliharaan itu dijaga dengan baik dan bersih, tetapi parasit tetap ada pada bulu-bulu kucing dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Risiko lain toksoplasmosis semasa hamil ialah kelahiran bayi pramatang, kelahiran bayi mati dalam kandungan (stillbirth) dan toksoplasmosis kongenital.
Kongenital secara ringkas bermaksud yang dialami sejak lahir, jadi toksoplasmosis kongenital bermaksud kecacatan atau kelainan yang dialami oleh bayi sejak lahir dalam kalangan ibu hamil yang diinfeksi toksoplasmosis.
Toksoplasmosis ialah penyakit yang disebabkan sejenis parasit di dalam sel yang dikenali sebagai Tpxoplasma gondii. Parasit ini pada asalnya hanya menjangkiti haiwan tetapi kemudiannya ia mampu menjangkiti kepada manusia.
Kucing dan keluarganya (Felidae) berperanan sebagai perumah definitif manakala kebanyakan haiwan berdarah panas termasuk mamalia dan manusia ialah perumah perantara bagi perkembangan parasit ini.
Pada peringkat awal, biasanya orang yang terinfeksi tidak menyedarinya. Namun begitu, jika sistem imuniti tubuh badan seseorang itu lemah, simptom dan gejala penyakit ini akan menjadi lebih serius dan ketara.
Apabila seorang wanita yang hamil mengalami jangkitan toksoplasmosis buat pertama kalinya, risiko untuk terjadinya toksoplasmosis kongenital pada bayi yang dikandunginya adalah tinggi.










