BERDASARKAN rekod UNICEF, saban tahun ratusan ribu kanak-kanak telah mati akibat kecederaan dan tidak kurang juga ramai yang cedera parah. Dalam kebanyakan kes kecederaan ini, ada kes menyebabkan hilang upaya kekal dan ada juga yang menyebabkan kerosakan otak. Kecederaan yang paling kerap berlaku adalah disebabkan oleh jatuh, terbakar, lemas dan kemalangan jalan raya.
Di Malaysia, kes kecederaan kanak-kanak telah menjadi punca utama kematian dan hilang upaya kanak-kanak, yang akhirnya meletakkan beban yang berat kepada keluarga dan masyarakat.
Seiring dengan pembangunan bandar yang agak pesat di kebanyakan tempat di Malaysia, kesesakan jalan raya juga menyebabkan meningkatnya kemalangan jalan raya. Menurut statistik kematian akibat kemalangan jalan raya yang diumumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman di dalam kenyataan akhbar pada Sabtu, 11 November 2017, sebanyak 5,083 kematian direkodkan sepanjang Januari hingga September 2017. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,077 kematian adalah melibatkan pelajar sekolah berusia di antara 6 hingga 20 tahun dan jumlah golongan tersebut yang cedera parah adalah seramai 1,150 orang dan 1,675 orang cedera ringan,
Tempoh sama juga menyaksikan kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal berumur 16 hingga 25 tahun direkodkan sebagai yang tertinggi iaitu sebanyak 1,043 kes daripada 3,232 kes. Ini jelas menunjukkan penunggang dan pembonceng motosikal masih menjadi kumpulan pengguna jalan raya paling berisiko tinggi terlibat dalam kes kemalangan jalan raya di negara ini. Kemalangan ini menyebabkan kematian kanak-kanak dan hilang upaya. Paling menyedihkan, ada kes yang menyebabkan kanak-kanak menjadi yatim piatu.
Maklumat yang diperoleh daripada portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia juga menunjukkan kebanyakan mangsa jalan raya terdiri daripada golongan kanak-kanak.
Beberapa cara pencegahan telah dikongsi kepada orang ramai untuk mengelakkan kanak-kanak ini daripada terus-terusan menjadi mangsa kemalangan jalan raya. Antara yang paling mudah dilakukan adalah dengan tidak membenarkan kanak-kanak berumur di bawah 10 tahun melintas jalan bersendirian. Jika diperhatikan, masih terdapat kanak-kanak dibiarkan bebas ke sana ke mari tanpa pengawasan orang dewasa.
Orang dewasa perlu mengajar dan menggalakkan kanak-kanak untuk menggunakan lampu isyarat, ruang pejalan kaki dan lintasan pejalan kaki. Peringatan untuk melintas seperti melihat ke kiri, ke kanan dan ke kiri terlebih dahulu sebelum melintas jalan raya juga perlu acap kali diingatkan kepada mereka.
Selain itu, ingatkanlah kanak-kanak untuk bermain di taman permainan yang disediakan bukan bermain berhampiran jalan raya. Mereka juga perlu diajar menggunakan bahagian kanan jalan yang berlawanan arus trafik supaya dapat melihat kenderaan yang datang daripada arah hadapan. Ini juga dapat membantu mereka mengenalpasti bahaya yang mungkin datang.
Malah untuk memastikan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak dalam perjalanan ke sekolah, satu inisiatif global yang dikenali sebagai Inisiatif Kesihatan Kanak-kanak atau Child Health Initiative telahpun diperkenalkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Safe Kid Malaysia. Inisiatif ini memberikan tumpuan kepada keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak khususnya semasa dalam perjalanan ke sekolah.
Program pertama Child Health Initiative telah dilaksanakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Cheroh dengan kerjasama Global Alliance of NGOs on Road Safety bersama beberapa agensi. Program ini melatih kanak-kanak dengan memberi pendedahan terhadap keselamatan jalan raya yang betul supaya mereka dapat menjadi ejen transformasi keselamatan jalan raya untuk dipraktikkan bersama keluarga mereka.
Malaysia sebenarnya amat prihatin dan bersungguh-sungguh dalam menangani isu ini. Justeru, Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020 telah siap dirangka untuk menangani semua isu keselamatan jalan raya di negara ini. Beberapa siri bengkel dianjurkan dalam tempoh tiga tahun dari 2011-2013 bagi menilai kejayaan dan permasalahan yang dihadapi dalam pelaksanaan pelan keselamatan terdahulu, iaitu Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2006-2010. Perbincangan serta dialog dengan pihak-pihak berkepentingan (stakeholders) telahpun selesai dijalankan dan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020 telah berjaya disediakan.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.










