KUALA LUMPUR 26 OKT. – WALAUPUN agak terlindung daripada penglihatan orang ramai, gerai-gerai makan di Jalan Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini cukup terkenal sebagai ‘port’ bagi ribuan warga kota untuk menikmati keenakan sajian singgang.
Deretan kira-kira 10 gerai yang terletak berhampiran dengan pusat beli-belah Quill City Mall itu boleh dikatakan antara lokasi terbaik untuk menikmati hidangan yang popular dari Pantai Timur itu.
Singgang merupakan masakan sup yang direbus dengan adunan lengkuas, bawang putih, bawang merah, kepingan asam gelugur, kunyit dan garam selain bendi dan cili.
Walaupun ringkas, hidangan yang biasanya menggunakan ikan tongkol, kembung, tenggiri, udang, sotong, ayam dan daging itu mempunyai keenakan rasa yang cukup menyelerakan.
Dipadankan bersama budu, ulam-ulaman dan telur dadar, sajian makan malam ini pasti memuaskan selera seisi keluarga.
Antara lauk lain yang menjadi kombinasi terbaik adalah ikan rebus goreng dan lidah lembu goreng.
Masakan singgang juga merupakan hidangan yang menyihatkan kerana tidak menggunakan minyak dan santan.
Pemilik gerai Selera Ramai Ikan Singgang, Siti Khadijah Mat, 68, berkata, keenakan singgang terletak pada rasa kuah dan rasa ikan yang dimasak segar.
“Singgang mungkin kurang popular dalam kalangan orang Pantai Barat tetapi bagi orang Pantai Timur, ia sajian yang cukup digemari jika kena dengan cara hidangannya.
“Walaupun ringkas, sajian tradisional ini pasti mencetus selera baharu bagi mereka yang tidak pernah mencuba,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Siti Khadijah berkata, harga bagi semangkuk sajian singgang ikan kembung untuk seorang dijual pada harga RM7.50, manakala sajian yang dijual berasingan seperti tomyam berharga RM6 dan lidah lembu goreng RM7.50.
Katanya, gerai yang mula dibuka selepas waktu Asar itu biasanya dipenuhi pelanggan pada waktu puncak iaitu antara pukul 8 hingga 10 malam sebelum ditutup pada pukul 4 pagi.
“Walaupun gerai di kawasan ini mempunyai kemudahan tempat letak kenderaan yang mencukupi, kami syorkan pelanggan datang lebih awal atau buat tempahan terlebih dahulu,’’ katanya.










