KUALA LUMPUR 31 Okt.- Selepas hampir seminggu menimang anak kedua, penyanyi Black Hanifah hari ini mendedahkan nama anaknya itu sebagai Rindu Dayyana.
Membawa maksud rindu itu sendiri selain Dayyana, yang gagah perkasa kata Black buat masa ini dia dan isterinya, Naquia Yasirah masih belum mahu mendedahkan wajah anaknya itu kepada umum.
“Rindu bermaksud rindu, Dayyana pula membawa maksud yang gagah perkasa. Sebenarnya ada beberapa nama yang dipilih saya dan isteri tetapi ini menjadi pilihan.
“Soal dedahkan wajah anak kedua kami, rasanya buat masa ini belum lagi. Mungkin selepas habis pantang lebih sesuai. Macam Dayyan dulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Online sebentar tadi.
Sementara itu, Black atau nama sebenarnya, Hanifah Hanafiah, 31, turut memberitahu keadaan kesihatan isteri dan anaknya juga berada dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah isteri dan Rindu berada dalam keadaan sihat. Malah isteri saya juga sudah berada di rumah.
“Anak sulung kami, Dayyan juga gembira bila tahu sudah mempunyai adik,” kongsinya.
Sebelum ini, penyanyi ini turut berkongsi berita gembira ini melalui laman Instagram miliknya. Selain gembira dengan kelahiran anak keduanya ini pada 25 Oktober lalu, Black turut bersyukur impian dia dan isteri untuk menimang anak perempuan dipermudahkan. – UTUSAN ONLINE










