Ribuan imigran menuju ke AS - Utusan Malaysia

Ribuan imigran menuju ke AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CIUDAD HIDALGO, Mexico – Beribu-ribu imigran berusaha melepasi sempadan barat laut Guatemala kelmarin untuk masuk ke Mexico dengan harapan dapat meneruskan perjalanan ke Amerika Syarikat (AS).

Mereka yang membanjiri sebuah jambatan di sempadan Mexico menyebabkan anggota polis terpaksa dikerahkan menyekat kemaraan imigran terbabit.

Kumpulan yang kebanyakannya terdiri daripada imigran Honduras sehingga mencetuskan retorik antiimigran daripada Presiden AS, Donald Trump itu ada yang bertindak merempuh sekatan polis dan penghadang sehingga tiba ke pagar terakhir di sempadan selatan Mexico.

Di hujung jambatan di Sungai Suchiate yang terletak di sempadan Mexico-Guatemala pula, mereka merusuh dengan melempar batu dan objek lain kepada beratus-ratus pegawai polis yang bertindak balas dengan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata.

Berikutan kejadian, ramai imigran, pegawai polis Persekutuan dan pemberita mengalami kece­deraan.

“Kami melarikan diri daripada keganasan di negara kami, tetapi apabila tiba di sini, mereka memukul kami dengan teruk.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku, saya fikir dapat menyeberang secara aman. Malangnya tiba-tiba ada batu terbang dan gas pemedih mata,” kata Marta Ornelas Cazares, 28, yang sedang menyusukan bayinya serta terpisah dengan dua lagi anaknya yang berusia 10 dan 15 tahun dalam kegawatan tersebut.

“Kami belum makan, tentera menghantar kami beberapa botol air. Kami dipenjarakan di sini, seperti haiwan, sila buka pintu,” pohon Marina Alvarado, 48.

Pihak berkuasa Mexico mene­gaskan bahawa imigran tanpa dokumen pengenalan diri mesti memfailkan tuntutan suaka untuk masuk ke negara itu.

Mereka mula membiarkan imigran berkenaan masuk secara berperingkat didahului wanita dan kanak-kanak yang dibawa menaiki trak dan dibawa ke tempat perlindungan.

Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto menggambarkan keadaan tersebut sebagai ‘tidak pernah berlaku sebelum ini’.

“Masuk dengan kekerasan ke negara ini bukan sahaja mengancam kedaulatan kita, tetapi juga memberi risiko kepada imigran itu sendiri,” kata Pena Nieto.

Imigran secara umumnya me­larikan diri daripada belenggu kemiskinan dan situasi tidak selamat di Honduras dengan kumpulan samseng berkuasa menyebabkan keganasan dan kekejaman.

Kadar pembunuhan dilapor­kan sebanyak 43 orang bagi setiap 100,000 rakyat menjadikan Honduras sebagai salah satu negara yang paling ganas di dunia. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN