Rezeki terpijak dalam lumpur - Utusan Malaysia

Rezeki terpijak dalam lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 22 Okt. – Aktiviti menangkap ikan dalam bendang sawah semasa musim menuai padi kekal menjadi tradisi yang diminati semua golongan tanpa mengira usia.

Antara kawasan sawah padi yang menjadi tumpuan ketika ini adalah Ladang Merdeka Mulong seluas lebih 98 hektar di sini yang menarik kehadiran bukan sahaja penduduk setempat malah yang tinggal jauh.

Pekerja kilang bata, Aznan Abd. Hapil, 35, dari Kampung Parit Limbat, Pasir Tumboh berkata, aktiviti berkubang dalam lumpur mencari ikan se­perti puyu, keli dan haruan mendatangkan kepuasan tersendiri walaupun kebanyakan ikan yang ditangkap hanya dihadiahkan kepada jiran tetangga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penduduk menangkap ikan di kawasan laluan mesin me­nuai padi sama ada menggunakan serkap ataupun tangan, saya suka menangkap ikan de­ngan tangan kerana lebih mudah tetapi perlu berhati-hati dengan sengat dan duri ikan.

“Ikan dalam bendang seperti jenis keli kayu dan keli lembut boleh dijual dengan harga RM30 sekilogram di pasaran kerana lebih sedap daripada ikan keli Afrika,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Aznan berkata, ikan yang ditangkap dalam lumpur perlu dipelihara sementara dalam air bersih terlebih dahulu sebelum dimasak atau dijual kepada sesiapa yang berminat untuk menghilangkan bau busuk.

Jelasnya, selain pada musim menuai padi, dia juga tidak melepaskan peluang menjala pada waktu lapang di tali air dan parit sawah.

Sementara itu, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong (1), Adam Akmal Azhar, 12, dari Tunjong pula berkata, dia tidak kisah bermandi selut atau berdepan risiko bertembung binatang berbisa sebaliknya berasa seronok dapat menangkap ikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini