Rezeki terpijak dalam lumpur sawah - Utusan Malaysia

Rezeki terpijak dalam lumpur sawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 22 Okt. – Musim menuai padi dua kali setahun amat ditunggu sebahagian penangkap ikan ‘separuh masa’ di negeri ini kerana inilah masanya kaki boleh terpijak rezeki dalam bendang.

Antara kawasan sawah padi yang menjadi tumpuan ketika ini adalah Ladang Merdeka Mulong seluas lebih 98 hektar di sini yang menarik kehadiran bukan sahaja penduduk setempat malah yang tinggal jauh.

 Pekerja kilang bata, Aznan Abd Hapil, 35, dari Kampung Parit Limbat, Pasir Tumboh berkata, tradisi berkubang dalam lumpur mencari ikan seperti puyu, keli dan haruan menjadi aktiviti yang diminati golongan tanpa mengira usia.

Memuatkan artikel berkaitan…

 “Penduduk menangkap ikan di kawasan laluan mesin menuai padi sama ada menggunakan serkap ataupun tangan.

 “Saya lebih suka menangkap ikan dengan tangan, ia lebih mudah sebab kita dapat rasa badan ikan yang bersembunyi dalam air keruh,  cuma perlu berhati-hati, saya pernah terkena sengat ikan keli dan tangan bengkak selama tiga hari,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

 Aznan berkata, ikan yang ditangkap dalam lumpur perlu dipelihara sementara dalam air bersih terlebih dahulu sebelum dimasak atau dijual kepada sesiapa yang berminat untuk menghilangkan bau busuk.

 Sementara itu, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong (1), Adam Akmal Azhar, 12, dari Tunjong pula berkata, dia tidak takut bergelumang dalam selut sebaliknya merasa seronok dapat menangkap ikan.

 Katanya lagi, selepas tamat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini, dia memang tidak sabar menunggu musim menuai padi yang bermula sejak pertengahan bulan ini.

 “Saya mulakan hobi ini pada usia 9 tahun lagi, saya ada dua serkap buluh yang ayah saya buat sendiri, setakat ini saya belum pernah lagi terjumpa binatang berbahaya seperti ular,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini