Rezal Videografer, pembikin video kahwin 'unik' hilang selepas dihentam warganet - Utusan Malaysia

Rezal Videografer, pembikin video kahwin ‘unik’ hilang selepas dihentam warganet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Apa perasaan pasangan pengantin apabila video perkahwinan yang sepatutnya menjadi memori terindah memiliki grafik motosikal di atas bangunan serta roket Israel yang melintas secara tiba-tiba?

Ditambah pula video yang sepatutnya menjadi manis dengan lagu yang cukup romatintik ditampilkan pula dengan lagu putus cinta Jar of Hearts nyanyian Christina Perri.

Namun itulah kisah sebenar yang dihadapi pasangan pengantin yang dikenali sebagai Hadi dan Farah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kisah malang mereka dikongsi oleh sebuah laman media sosial dan ia mendapat lebih 16,000 perkongsian serta mencapai hampir 9,000 komen netizen.

Masing-masing mengkritik dan tidak kurang yang mengecam kerana video yang dihasilkan Rezal terlalu mengarut dan tidak masuk akal.

Berdasarkan tinjauan Utusan Online, menerusi cetakan skrin Facebook milik beliau, Rezal menawarkan khidmat juruvideo untuk majlis perkahwinan dengan harga sekitar RM790 hingga RM870.

Seorang pengguna Facebook, Maria Ali, berkata, Rezal tidak sepatutnya berbuat demikian dan tidak menawarkan perkhidmatan yang bukan kepakarannya.

“Kasihan kepada pengantin. Akak tak tahu sama ada nak gelak atau bagaimana. Nampak macam lucu tapi kasihan pula kepada pengantin,” tulisnya.

Max Damon pula berkata, pasangan yang mahu membuat video untuk hari berbahagia mereka sepatutnya menyemak dahulu hasil kerja mereka sebelum ini.

“Sekarang sudah mudah. Minta sahaja portfolio mereka. Di Facebook boleh, YouTube boleh. Di Instagram juga boleh.

“Entah berapa ramai lagi yang terkena kita pun tak tahu. Saya cuma boleh ucapkan simpati. Tetapi sampai sekarang saya tak tahu apa motif ada grafik telefon bimbit menari di sebelah pengantin,” katanya.

Utusan Online ada cuba menghubungi Rezal Videografer berdasarkan nombor telefon yang dipamerkan menerusi cetakan skrin Facebook miliknya bagi mendapatkan penjelasan daripada sudut dirinya namun nombor tersebut sudah tidak digunakan lagi.

Semakan di akaun Facebook juga mendapati Rezal sudah memadam akaun tersebut.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini