SETIU – Dua termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut manakala enam lagi cedera dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 71, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja berhampiran Kampung Saujana di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang itu, pemandu Perodua Kelisa, Ahmad Nazminuddin Lokhman, 18, dari Kampung Bukit Payung, Jertih, disahkan maut di lokasi nahas sementara penumpang Proton Iswara, Nur Raisyyah Rania Mohd. Faizal, 3, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Setiu pada pukul 8.41 malam.
Tiga penumpang Perodua Kelisa, Mohd. Khairul Azhar Mat Raidin, 18, Siti Aishah Dirham Shah, 18, dan Nur Atirah Muhammed Jamsil, 17, masing-masing mengalami kecederaan pada tangan, muka serta dada.
Pemandu Proton Iswara yang juga bapa kepada Nur Raisyyah, Mohd. Faizal Awang, 37, dari Kampung Rhu Tapai, Marang bersama isteri, Sapizan Sauki, 32, yang cedera pada kepala dan anak lelaki mereka, Mohd. Adam Daniel, 5, kini menerima rawatan di hospital.
Sementara dua lagi, anak perempuan mereka, Nur Alya Amani, 9, dan Nur Fatin Humaira, 8, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, nahas dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Kelisa yang dipandu Ahmad Nazminuddin bertembung dari arah hadapan dengan Proton Iswara dinaiki Mohd. Faizal sekeluarga.
”Keempat-empat remaja lelaki dan perempuan tersebut dikatakan dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu dari Kampung Raja, Besut.
“Setibanya di selekoh Kampung Saujana di sini, kerete Perodua Kelisa itu telah bertembung dengan Proton Iswara sehingga menyebabkan kesemua remaja terbabit tercampak keluar dari kenderaan,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini. – K! ONLINE










