MEXICO CITY 27 Okt. – Lewis Hamilton mengakui, kelajuan jentera Red Bull meninggalkan Mercedes menjelang Grand Prix Formula Satu (F1) Mexico esok, namun dia bernasib baik perkara itu hanya berlaku di penghujung musim 2018.
Sekalipun pemandu Red Bull, Max Verstappen dan Daniel Ricciardo memenangi perlumbaan, Hamilton hanya perlu menamatkan saingan di tangga ketujuh untuk mengesahkan kejuaraan dunia kelima.
Bagaimanapun jika pemandu Ferrari, Sebastian Vettel gagal menang, Hamilton akan dinobat sebagai juara tanpa mengira keputusan yang diperoleh.
Dia hanya memerlukan lima mata untuk mengesahkan gelaran dunia kerana mengatasi Vettel dengan kelebihan 70 mata, sedangkan baki tiga perlumbaan cuma menawarkan 75 mata.
“Red Bull sukar dikejar tetapi Ferrari berada di tahap sama dengan kami, jadi kami akan lakukan yang terbaik,” kata Hamilton.
Verstappen dan Ricciardo menguasai latihan bebas apabila mencatat masa pertama dan kedua terpantas, manakala Hamilton di tempat ketujuh.
Namun begitu, kedua-dua mereka sudah pun terkeluar daripada perebutan gelaran yang hanya menyaksikan pertembungan antara Hamilton dan Vettel. Vettel menamatkan sesi latihan bebas di tempat keempat. – AFP










