GIMNAS cilik negara, Rayna Hoh Khai Ling mempunyai masa depan cerah dalam arena gimrama berdasarkan kebolehan dan kejayaan diraihnya sepanjang beraksi di peringkat remaja sebelum menyertai skuad kebangsaan mulai tahun depan.
Terbaharu, Rayna, 15, meraih pingat perak pada Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2018 di Buenos Aires, Argentina semalam menerusi acara berformat baharu, gimnastik berpasukan antarabangsa yang pertama kali diperkenalkan pada temasya tersebut.
Walaupun ia tidak dikira dalam pungutan pingat negara, namun kejayaan itu sememangnya menyuntik semangat atlet Wilayah Persekutuan itu untuk terus menyinar dalam skuad senior memandangkan ini adalah tahun terakhirnya pada peringkat remaja.
Bekas ratu gimnas kebangsaan, Durratun Nashihin Rosli percaya pendedahan berharga di pentas YOG akan membantu pemenang lima pingat emas Sukan Malaysia 2018 itu untuk beraksi pada peringkat senior tahun depan.
“YOG dianggap sebagai batu loncatan untuk Rayna mengembangkan sayap dalam kategori senior. Dia mempunyai asas dan pendedahan berguna dalam kariernya sekarang.
“Saya berharap dia dapat memanfaatkan segala yang diraih untuk terus berjaya selepas ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Rayna berjaya mengumpul 15.600 mata untuk disiplin gelung dan 15.050 mata bagi rutin belantan, sekali gus membantu pasukan antarabangsa Max Whitlock meraih tempat kedua dalam acara baharu membabitkan empat disiplin gimnastik.
“Saya sangat berpuas hati kerana dapat menjayakan dua rutin ini dengan baik walaupun ia mampu dilakukan lebih baik lagi,” jelas Rayna.
Dalam perkembangan lain, skuad hoki lima sebelah (5’s) negara berjaya melangkah ke peringkat suku akhir walaupun rekod kemenangan bersih mereka tercalar gara-gara tewas 2-4 kepada Argentina pada aksi keempat semalam.
Dua gol pasukan kendalian Wallace Tan itu diperoleh menerusi Muhammad Noor Firdaus Rosdi dan Muhammad Arif Syafie Ishak.











