KUALA LUMPUR 16 Okt. – Usaha kerajaan Pakatan Harapan untuk meratifikasi enam konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terutamanya Konvensyen Antarabangsa Menentang Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hanya akan mengganggu Perlembagaan Persekutuan serta menggugat keistimewaan Melayu dan Islam di negara ini.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, ICERD telah menyatakan bahawa mana-mana pihak yang menandatangani dan ratifikasi, boleh menggunakan dasar diskriminasi positif itu untuk menjamin hak sama rata dan kebebasan.
Malah katanya, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan kedudukan istimewa diberikan kepada bumiputera.
“ICERD tidak dapat dilaksanakan kerana ia tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Ada sebab kenapa Wisma Putra selama ini tidak meratifikasikan konvensyen-konvensyen seperti ini.
“Untuk konvensyen lain, saya rasa tidak ada masalah, tetapi ini (ICERD) antara konvensyen yang kita tidak ratifikasi selama ini dengan alasan yang baik. Sebab ia ada masalah apabila hendak diselaraskan dengan Perlembagaan Persekutuan kita,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) dalam sidang Dewan Rakyat di sini semalam.
Dalam perhimpunan bulan lalu itu, Dr. Mahathir telah mengesahkan bahawa Malaysia akan melaksanakan ratifikasi enam konvensyen PBB mengenai hak asasi kerana daripada keseluruhan sembilan konvensyen PBB, Malaysia telah menyertai kesemuanya tetapi yang enam konvensyen tersebut belum dimuktamadkan amalannya.
Tambah Khairy, beliau secara peribadi tidak mempunyai masalah berhubung sebahagian besar konvensyen yang diratifikasi, namun bukan yang menyentuh Perlembagaan Persekutuan seperti ICERD.
Katanya, Artikel 2 ICERD jelas menyatakan bahawa kedudukan istimewa yang diberikan kepada satu kumpulan etnik tertentu mempunyai tempoh atau had bagi memberi peluang penggunaan dasar diskriminasi positif iaitu hak sama rata kepada kaum-kaum lain.










