KUALA LUMPUR 15 Okt. – Felda kini dalam proses melihat keperluan untuk menjual aset-aset bukan strategik seperti hartanah di London, Sarawak dan Sabah yang dibeli dengan kos sebanyak RM2.2 bilion.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kaedah itu dapat menampung sebahagian komitmen Felda kepada 112,635 peneroka.
Selain itu katanya, ketika ini, Felda sedang menghadapi masalah kedudukan aliran tunai yang amat kritikal berikutan pinjaman dengan beberapa institusi kewangan berbaki sebanyak RM8 bilion sehingga Jun lalu.
“Harga minyak sawit mentah (CPO) yang rendah juga merupakan antara faktor memberi kesan kepada kedudukan aliran tunai Felda yang semakin berkurangan.
“Maka pelan pemulihan kedudukan aliran tunai Felda merupakan pelan jangka panjang yang sedang diberikan tumpuan dan perkara itu telah dimulakan dengan mengadakan perjumpaan bersama beberapa institusi kewangan untuk menstrukturkan semula pinjaman Felda.
“Dengan kaedah itu, Felda dijangka dapat mengurangkan 15 peratus baki pinjaman kepada RM6.8 bilion pada akhir tahun ini,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai kesahihan dakwaan aliran tunai Felda hampir kosong.
Jelas Mohamed Azmin, dengan kaedah-kaedah yang dilaksanakan, Felda dijangka dapat memulihkan kedudukan aliran tunai dalam tempoh dua tahun akan datang.










