JOHOR BAHRU 26 Okt. – Polis menahan tujuh termasuk seorang wanita warga asing dan merampas beberapa jenis dadah dalam Ops Hiburan di sebuah pusat hiburan di Jalan Sutera, Taman Sentosa di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 44 tahun itu ditahan dalam operasi pukul 3.15 pagi itu.
Katanya, dalam operasi sama, seramai 22 orang termasuk sembilan wanita telah diperiksa dan pihaknya telah merampas dadah iaitu ganja seberat 164.12 gram; ketamin (1.09 gram);
16 biji ekstasi (6.50 gram); 13 biji pil erimin 5 (3.69 gram) dan syabu (0.28 gram).
“Lima pengunjung yang positif dadah ditahan reman untuk siasatan lanjut termasuk penyelia pusat hiburan berkenaan yang bertugas di kaunter bayaran berikutan penemuan dadah jenis syabu dan ganja di laci berkenaan.
“Pengurus pusat hiburan itu turut ditahan kerana menjalankan perniagaan melebihi tempoh dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE










